HomeUtamaPembudayaan inovasi dalam sektor, unit jabatan perlu sentiasa dititikberatkan

Pembudayaan inovasi dalam sektor, unit jabatan perlu sentiasa dititikberatkan

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu : Pembudayaan inovasi hendaklah sentiasa dititikberatkan di setiap sektor dan unit dengan mengubah cara kerja agar ianya berorientasikan visi dan misi jabatan Kerajaan .

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ianya harus dijadikan sebagai amalan kerja pada setiap masa sepanjang tahun dan bukan hanya sekadar pengisian suatu program khusus.

“Dalam era moden ini, inovasi telah menjadi tanda aras global yang mendorong kepada keupayaan penciptaan idea yang unik dan bermanfaat kepada pembangunan sesuatu bidang. Jika dahulunya semua dilakukan secara manual dan mengambil masa yang lama, kini sektor awam menawarkan pelbagai kemudahan dan kaedah yang semuanya boleh didapatkan di hujung jari.

“Perubahan penyampaian perkhidmatan yang dirasakan pada hari ini tidak mungkin tercapai tanpa penghasilan inovasi yang berterusan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua jadikan pembudayaan inovasi sebagai agenda utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan jabatan kepada pelanggan sentiasa cepat, cekap, dan berkesan seiring dengan perubahan teknologi dan corak pembangunan yang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mini Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (MiKoHKIK) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) 20023 di sini hari ini.

Arifin berkata, pihaknya percaya pelaksanaan MiKoHKIK telah membuka ruang dan peluang kepada warga pendidikan khususnya untuk menzahirkan idea demi meningkatkan produktiviti dan pembangunan sektor dan unit masing-masing.

Katanya, pemilihan kategori inovasi yang berfokuskan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) untuk dipertandingkan dalam mini konvensyen JPN Sabah ini amat bertepatan dengan sasaran peserta adalah penjawat awam yang berkhidmat di sektor awam yang melibatkan pengurusan. 

“Seperti kita sedia maklum, setiap projek HBKIK yang dihasilkan hendaklah memenuhi salah satu daripada bidang inovasi sama ada Inovasi Sosial atau Inovasi Penyampaian Perkhidmatan.

“Inovasi Sosial adalah merangkumi kaedah penyelesaian baharu (idea, model dan perkhidmatan) yang mampu memenuhi kepentingan sosial dengan lebih berkesan dan mengutamakan penglibatan rakyat.

“Inovasi Penyampaian Perkhidmatan pula merupakan terjemahan idea baharu yang kreatif dan inovatif untuk mentransformasikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

“Inovasi penyampaian perkhidmatan bermatlamat meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan ke arah penyampaian perkhidmatan yang bersepadu dan lancar serta meningkatkan kepuasan hati pelanggan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kementerian Kewangan berjaya tingkatkan pendapatan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular