HomeUtamaPenganjuran JSM, Karnival STEM diadakan serentak pupuk minat murid terhadap TVET

Penganjuran JSM, Karnival STEM diadakan serentak pupuk minat murid terhadap TVET

Read Time:1 Minute, 44 Second

Kota Kinabalu : Penganjuran Junior Skill Malaysia (JSM) akan diadakan serentak dengan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memupuk rasa minat murid sekolah dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, penganjuran serentak dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu akan diadakan pada Jun 2024 dan peringkat akhir pada Ogos tahun depan.

“Demi kesinambungan dan pendedahan awal dan memupuk rasa minat murid-murid sekolah dalam Pendidikan TVET, saya telah meminta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk mengintegrasikan penganjuran JSM2024 diadakan serentak dengan penganjuran Karnival STEM Peringkat Kebangsaan oleh KPM.

“Kerjasama dua kementerian ini dijangkakan akan dapat memeriahkan lagi karnival STEM dan meningkatkan lagi penyertaan JSM dalam kalangan pelajar sekolah serta dapat mengoptimumkan perbelanjaan kerajaaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 sesi 2023 / 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Mustapha berkata, TVET perlu dipromosi untuk menjadi pilihan utama anak-anak yang mempunyai kecenderungan kepada pembelajaran berteraskan kemahiran.

Katanya, permintaan kemasukan dalam bidang TVET telah meningkat kerana masyarakat sudah mula mengalihkan perspektif mereka ke arah TVET sebagai laluan yang terbaik untuk masa depan.

“Ini terbukti dengan data kadar kebolehpasaran graduan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang mencapai 90 peratus ke atas sepanjang tahun.

“Sebagai langkah awal, saya di Kementerian Sumber Manusia telah meminta kakitangan terutamanya dari JPK melalui penganjuran promosi Karnival TVET Madani “Jom Pilih Kemahiran” untuk meluaskan sasarannya kepada pelajar-pelajar sekolah di seluruh pelusuk negara terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata, bagi memperkasa TVET, kementeriannya juga telah membangunkan sistem pengambilan kemasukan aliran TVET melalui sebuah Portal seumpama UPU Kementerian Pendidikan Tinggi yang digelar UP_TVET.

“Dengan kewujudkan portal ini, para pelajar boleh terus mengaksesnya untuk permohonan kemasukan ke institusi-institusi TVET seluruh negara merentas 12 Kementerian.

“Saya berharap, agar pihak sekolah terus dapat mempromosikan Pendidikan aliran TVET agar para pelajar yang berminat dan melanjutkan pelajar dan mendapat kemahiran yang sesuai dengan kemampuan dan keupayaan Pendidikan mereka demi masa depan yang cerah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Banyak pengisian baharu yang menarik sempena Regatta Lepa ke-29

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular