HomeUtamaESSCOM pergiat operasi bersepadu di daratan, lapan PATI ditahan

ESSCOM pergiat operasi bersepadu di daratan, lapan PATI ditahan

Read Time:2 Minute, 34 Second

Tawau : Seramai lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di kawasan berhampiran sempadan daratan daerah Kalabakan.

Operasi yang yang dilaksanakan melalui Road Check Point (RCP) Kalabakan Siri 2/ 2023 selama tiga hari berakhir Sabtu lalu itu turut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan yang persekutuan dan negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Komander Eastern Command Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dilaksanakan di RCP Kalabakan itu adalah bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai dan penyusupan PATI serta penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan lain.

Katanya, ia termasuklah operasi keselamatan di laluan tikus yang dikenal pasti digunakan oleh penjenayah berhampiran sempadan daratan daerah Kalabakan.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 224 buah pelbagai jenis kenderaan darat telah diperiksa melibatkan pemeriksaan seramai 426 orang individu.

“Daripada jumlah tersebut, seramai lapan orang PATI warganegara Filipina dan Indonesia telah ditangkap atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63  dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut. 

“Selain itu, seramai dua individu telah ditahan kerana masing-masing disyaki memiliki senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama beberapa butir peluru hidup yang disembunyikan di dalam kenderaan serta premis semasa pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

“Kedua-dua individu terbabit dan barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960. Turut ditangkap enam individu dewasa kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk siasatan lanjut oleh pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya.

Dalam pada itu, Victor berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 21 keping saman masing-masing atas pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah POL 257 dan Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987. 

Katanya, selaras dengan kejayaan Operasi Bersepadu RCP Kalabakan ini, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dalam operasi berkenaan.

“Kejayaan operasi ini juga merupakan hasil perancangan inklusif dan usaha murni Kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM untuk memperkasa operasi-operasi sedia ada di bawah PDRM, ATM dan APMM serta Jabatan/ agensi Penguatkuasaan Persekutuan, Negeri dan PBT dalam mengekang ancaman pencerobohan anasir asing dan memastikan pemeliharaan keselamatan awam di pantai Timur Sabah diperkukuh dari semasa ke semasa.

“Melalui tindakan penguatkuasaan yang bersepadu dan teratur ini juga akan memastikan aspek pemerkasaan Ekonomi Madani dalam sektor perniagaan, pelaburan, pelancongan dan pengembangan syarikat tempatan di wilayah ini dapat dilonjakkan serta memberi manfaat dari segi penggajian yang bermakna dan kesaksamaan peluang kepada masyarakat ESS Zone,” katanya.

Victor berkata, ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini kesemua daerah dalam ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu katanya, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Utama

Mayat mangsa lemas kanak-kanak perempuan empat tahun, dijumpai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular