HomeUtamaKerajaan Negeri terus bangunkan industri minyak & gas di Sabah

Kerajaan Negeri terus bangunkan industri minyak & gas di Sabah

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan terus berusaha membangunkan industri minyak dan gas di Sabah melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan negeri juga akan terus mengukuhkan kerjasama dengan PETRONAS dalam pengurusan minyak dan gas di Sabah.

“Semoga kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS berkaitan industri minyak dan gas akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di negeri ini.

“Justeru, saya mahu Dialog Strategik Tahunan (Annual Strategic Dialogue) Kerajaan Sabah dan PETRONAS 2023 kali kedua, akan membuka lebih banyak peluang dan ruang kolaborasi serta kerjasama yang positif dan membina diantara kedua pihak dalam usaha memajukan negeri ini demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Dialog Strategik Tahunan Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, sejak termeterainya Perjanjian Kolaborasi Komersil (CCA) pada 7 Disember 2021, kerjasama di antara Sabah dan PETRONAS menjadi lebih akrab demi mencapai objektifnya iaitu meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri dari hasil pengeluaran minyak dan gas di Sabah, meningkatkan penyertaan dan pembabitan dalam rantaian nilai industri minyak dan gas selain penglibatan yang lebih besar dalam pembangunan minyak dan gas di negeri ini.

Katanya, Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS atas jalinan kerjasama yang amat baik dan hubungan erat diantara sesama pihak khususnya penerimaan secara positif terhadap tuntutan Sabah terhadap industri minyak dan gas.

Beliau turut berkongsi beberapa pencapaian kolaborasi sejak termeterai CCA dan selepas Annual Strategic Dialogue pertama pada tahun 2021, termasuklah ‘Samarang PSC Farm Out Agreement’ berjaya dimeterai dan ditandatangani oleh SMJ Sdn Bhd & PETRONAS Carigali Sdn Bhd pada 4 April 2023.

“Pencapaian lain ialah penyiapan pembinaan Bangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau yang merupakan MRSM pertama oleh PETRONAS di Sabah, yang akan memulakan pengambilan murid-murid pada bulan Mac tahun hadapan.

“Selain itu, program-program impak sosial yang dilaksanakan oleh PETRONAS bersama-sama dengan agensi Kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga telah dapat meningkatkan kesejahteraan dan kehidupan komuniti setempat,” katanya. 

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Juhar terima anugerah Sayap Kehormat VAT 69 Komando PDRM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular