Kota Kinabalu : Festival Banjaran Crocker kali keenam kembali diadakan selama empat hari bermula hari ini yang akan berlangsung di Padang Bandaran Keningau.
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau Rafie Robert berkata, festival yang diadakan kali terakhir pada 2018 itu adalah bagi mempromosi produk pelancongan serta kebudayaan di pedalaman atas khususnya di daerah Keningau.
“Kali terakhir penganjuran festival ini adalah pada 2018 dan ianya tidak dapat diteruskan disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda negara sehingga menyebabkan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Justeru pada tahun ini, kita menganjurkan kembali festival ini dimana program ini dilihat dapat membantu merangsang ekonomi penduduk setempat dan juga menyokong produk-produk yang berasaskan komuniti kampung di daerah Keningau,” katanya dalam kenyataan di sini.
Rafie yang juga Pengerusi Penganjur Festival Banjaran Crocker berkata, sejak negara dilanda pandemik COVID-19, produk-produk pelancongan di daerah Keningau merosot dan memerlukan pemulihan semula.
“Oleh itu, pihak persatuan berusaha dalam memberi sokongan kepada produk-produk pelancongan di daerah Keningau dengan penganjuran seperti ini.
“Pelbagai program akan kita diadakan seperti miss crocker range, kids pageant, pertandingan mewarna dan melukis kanak-kanak, pertandingan masakan tradisi, pertandingan gubahan bunga, pertandingan body physique, pertandingan gusti lengan, perarakan budaya, pertandingan manangon (bercerita), pertandingan koir, pertandingan muzik tradisi (sompoton / kulintangan), auto-show, pertandingan tarian kecergasan, pameran etnik, pameran dan jualan kraftangan, pameran dan jualan hasil pertanian dan banyak lagi,” katanya.
Menurutnya lagi, artis jemputan tempatan turut menghiburkan kepada pengunjung seperti Stacy, Marsha Milan, Santiana Ramli, Elica Paujin Dan Firman (AF) serta banyak lagi kumpulan persembahan yang akan membuat persembahan.
Dalam pada itu, Rafie berkata, Ogos lalu, Pusat Informasi Pelancongan Daerah Keningau telah diwujudkan bagi memudahkan pengunjung ataupun pelancong luar untuk memperoleh maklumat produk-produk pelancongan di daerah Keningau.
“Oleh itu, saya selaku pengerusi penganjur menjemput seluruh rakyat Sabah untuk hadir ke festival terbesar di daerah Keningau untuk memberi sokongan kepada industri pelancongan di daerah Keningau pada november ini,” katanya.
Festival itu dianjurkan Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Keningau (MTPDK), Majlis Daerah Keningau (MDK) dan Kelab Belia Kadzandusun Keningau serta pelbagai jabatan/agensi kerajaan dan NGO. – SABAH MEDIA