PUTRAJAYA: Masyarakat Desa bakal menerima peruntukkan sebanyak RM 1 Bilion ringgit melalu Dana Komuniti Madani bagi memulakan projek ekonomi sendiri kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya menerusi inisiatif itu, dana sebanyak RM100,000 akan disalurkan kepada setiap kampung, desa, rumah panjang mahupun projek perumahan rakyat (PPR) bagi memulakan projek ekonomi seperti kraftangan atau hidroponik.
“Dana itu akan diserahkan kepada penghulu, penggawa atau tuai rumah dan mereka ini akan berjumpa komuniti dan memutuskan sendiri projek ekonomi untuk dibangunkan di kawasan mereka.
“Saya nak tengok orang kampung buat keputusan dan menguruskan dana RM100,000 untuk membangunakan projek ekonomi dengan kos rendah berikutan kegiatan itu dilakukan sendiri tanpa pembabitan pegawai (pembimbing),” katanya berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD@Putrajaya) 2023 di Anjung Floria.
Program anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu diadakan selama lima hari bermula Rabu lalu dan berakhir esok, dimeriahkan dengan pelbagai pameran dan jualan.
Ia dibuka bermula jam 10 pagi sehingga jam 10 malam dengan menyediakan 800 gerai pameran termasuk jualan membabitkan pelbagai usahawan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga sedia memberi dana tambahan RM1 bilion lagi sekiranya projek komuniti desa itu membuahkan hasil.
“Dana tambahan itu kerana kita mahu komuniti terbabit benar-benar memanfaatkan dana yang diperuntukkan dengan sebaiknya.
“Masyarakat desa terbabit boleh mendapatkan bimbingan dan bantuan dengan berhubung dengan agensi kerajaaan berkaitan antaranya Jabatan Pertanian atau Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Sekiranya berlaku dana ‘dicuri’ pihak tidak bertanggungjawab, saya panggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat supaya tiada penyelewengan atau ketirisan terhadap projek dijalankan,” katanya.
Anwar berkata pendekatan baharu kerajaan dijangka memberi manfaat kepada jutaan rakyat.
Katanya, dana yang diperuntukan itu khusus untuk penjanaan ekonomi dan bukannya untuk pembaikan pagar atau jambatan rosak.
“Belanjalah dengan berhemah dan patuhi peraturan ditetapkan,” katanya.