HomeSukanPiala SAFA cungkil pelapis muda bola sepak Sabah

Piala SAFA cungkil pelapis muda bola sepak Sabah

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Kejohanan Piala Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) 2024 yang akan diadakan pada Januari depan dilihat sebagai satu gelanggang untuk memilih para pemain pelapis bola sepak di negeri ini.

Naib Presiden SAFA Datuk Seri Ruddy Awah berkata, Sabah memiliki ramai bakat sukan yang boleh diserlahkan menerusi kejohanan tempatan seperti Piala SAFA yang turut dilihat berpotensi diserapkan sebagai pemain profesional di peringkat negeri.

“Negeri ini sememangnya memerlukan ramai pemain bola sepak bagi meneruskan legasi pasukan negeri selain memantapkan lagi kekuatan Sabah dalam arena bola sepak negara.

“Penganjuran kejohanan bola sepak tempatan ini bukan hanya untuk melengkapkan jadual tahunan program pembangunan bola sepak SAFA, tapi lebih penting lagi bagi melahirkan pelapis muda. Bakat yang dicungkil melalui kejohanan Piala SAFA itu nanti boleh diketengahkan ke peringkat negeri bagi memastikan sukan bola sepak Sabah terus berkembang maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan jersi kejohanan Piala SAFA 2024 kepada wakil SAFA daerah, di sini, semalam.

Penyampaian jersi berkenaan disempurnakan Timbalan Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang selepas mesyuarat Kejohanan Piala SAFA 2024 yang dihadiri 21 wakil SAFA daerah dari seluruh negeri.

Sementara itu, Ruddy selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata Piala SAFA 2024 dijadual bermula pada 12 hingga 14 Januari bagi perlawanan peringkat zon, manakala 25 hingga 27 Januari bagi perlawanan peringkat negeri.

Katanya, perlawanan peringkat zon diadakan secara liga satu pusingan serentak di enam zon bagi mencari 12 pasukan yang menduduki tempat pertama dan naib johan untuk ke kejohanan peringkat negeri.

“Setelah selesai peringkat zon, 12 pasukan johan dan naib johan itu akan dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menghadapi perlawanan secara liga satu pusingan di peringkat negeri yang akan diadakan di Kota Kinabalu,” katanya.

Kejohanan itu, katanya menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 bagi pemenang pertama, diikuti naib johan (RM10,000), tempat ketiga (RM7,500) dan tempat keempat (RM5,000).

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC perlu penyerang baharu, atasi bahagian serangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular