Tuaran: Sebanyak 50 anak pokok berjaya ditanam sempena Program Bumi Hijau anjuran Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah.
Aktiviti tersebut melibatkan 12 anak pokok berasaskan pertanian antaranya, Mangga Chokanan, Jambu Batu Seedless, Lemon dan Kelapa Pandan.
Manakala 38 anak pokok lagi berasaskan perhutanan antaranya, Bintangor, Obah Merah, Jambu Laut, Belian dan Bunga Tanjung yang ditanam di sekitar kawasan berhampiran pantai salah sebuah pusat peranginan di sini semalam.
Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah berkata, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat kepada usaha memelihara alam sekitar dan kepentingan kawasan litupan hijau dan hutan sejajar dengan konsep pembangunan lestari.
“Program ini dapat membudayakan pendidikan alam sekitar dengan menerapkan nilai murni alam sekitar dalam pelbagai aspek antaranya pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan berterusan sejajar dengan konsep pembangunan lestari.
“Selain itu, ia dapat memberi galakan kepada masyarakat melaksanakan aktiviti mesra alam dan penjimatan sumber melalui kitar semula,” katanya.
Program tersebut dirasmikan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni dengan menandatangani plak sebagai gimik pelancaran.
Dalam majlis itu juga, seramai 50 pelajar terdiri daripada golongan B40 dari Sekolah Kebangsaan Kepayan menerima sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar yang disampaikan oleh Toh Puan Norlidah.
Program Bumi Hijau tersebut turut dijayakan PERKEP Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, Jabatan Pertanian Tuaran dan Jabatan Perhutanan Sabah.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendent Noraidin Ag. Maidin, Ketua Biro Pendidikan PERKEP Kontinjen Sabah, Datin Fauziah Abdul Rafar, Ketua Biro Sukan PERKEP Kontinjen Sabah, Suzlina Mohamad dan Ketua Biro Sosial PERKEP Kontinjen Sabah, Siti Fatimah Mohamadin.