Kerajaan lulus RM20 juta tambah aset ESSCOM di sempadan negara

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

BERNAMA

Tawau : Kerajaan meluluskan peruntukan kira-kira RM20 juta untuk menambah aset taktikal Eastern Sabah Security Command (ESSCom) di sempadan negara bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone).

Ketua Pegawai ESSCOM Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata aset berkenaan antaranya termasuk bot-bot laju sedang dalam proses peralihan.

“Diharapkan pada tahun hadapan perkara itu dapat direalisasikan,” katanya kepada pemberita selepas program semarak ESSCOM 2023 di Kampung Batu Payung di sini semalam.

Program semarak ESSCOM diadakan bagi memberi kesedaran keselamatan serta meningkatkan tahap patriotisme penduduk di ESS Zone dan program pada hari ini turut melibatkan kerjasama  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang menyediakan dua treler Jualan Rahmah serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka enam khemah Jualan Agro MADANI.

Sebelum itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika berucap merasmikan program berkenaan berkata rancangan ESSCOM untuk mempertingkatkan operasi dan keupayaan kawalan pasukan keselamatan adalah seiring dengan hasrat kerajaan negeri serta Persekutuan bagi melonjakkan tahap ekonomi negara sekali gus memastikan masyarakat dapat hidup sejahtera.

“Rancangan ESSCOM itu termasuk cadangan memperoleh aset taktikal iaitu floating bot (barge) di Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik yang terletak bertentangan dengan kawasan pesisir pantai Apas dan sejumlah unit Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) atau bot laju untuk ditempatkan di lokasi strategik sekitar pesisir dan perairan Tawau.

“Selain, mewujudkan pangkalan pemeriksaan di laut atau Sea Check Point di Pulau Sebatik terhadap kapal-kapal bukan konvensional (dipanggil kumpit yang menjalankan aktiviti perdagangan pertukaran barang dan penghantaran).

“Serta penubuhan satu Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) lagi untuk memperkuatkan keupayaan kawalan pasukan keselamatan di sempadan perairan dan daratan Malaysia dengan Filipina serta  Indonesia di Daerah Kunak serta Semporna,” katanya.

Nizam berkata peranan ESSCOM itu bukan hanya mengawal keselamatan sebaliknya turut menjayakan pelbagai agenda kerajaan serta mengkoordinasikan program Tindakan Awam bersama komuniti ESSZone termasuk program meningkatkan sosioekonomi penduduk.- BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *