HomePolitikPBS, STAR boleh kerjasama rapat bela rakyat, bangunkan Sabah - Dr. Joachim

PBS, STAR boleh kerjasama rapat bela rakyat, bangunkan Sabah – Dr. Joachim

Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam optimis PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) boleh bekerjasama rapat khususnya dalam membela nasib rakyat dan seterusnya membangunkan Sabah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas idea pengabungan PBS dan STAR semasa berucap pada program Hari Keluarga PBS Bahagian N.18 Inanam yang diadakan di Padang Pekan Manggatal, di sini, kelmarin (26 Nov).

PBS dan STAR dalam kenyataan bersama pada Nov 16 memaklumkan telah mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi pengwujudan persefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua parti.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu dalam kenyataan bersama itu berkata, mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

Kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi ini dicapai dalam pertemuan diantara pemimpin kedua-dua parti pada 15 November 2023 berdasarkan asas-asas berikut, iaitu untuk menyahut seruan akar umbi yang ingin melihat kedua-dua parti menjalinkan kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang etnik; sebagai kesinambungan kepada cadangan yang menjurus kepada usaha di atas sebelum PRN pada 2020; dan untuk memperkukuhkan lagi kekuatan dan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sementara itu, lebih 300 pemimpin dan ahli PBS Bahagian N.18 Inanam menyertai Program Hari Keluarga tersebut.

Dalam ucapannya, Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, menyeru pemimpin dan ahli PBS Inanam untuk terus memperkukuhkan kedudukan parti dan memperkasakan keahlian di semua peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam.

Selain itu, beliau juga menyeru semua ahli parti agar memberikan kerja sama sepenuhnya dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus.

Sementara itu Ketua Bahagian PBS Inanam merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS, Fredolin Totin Bangon berkata, program Hari Keluarga ini merupakan satu simbolik yang melambangkan perpaduan pemimpin dan ahli dalam PBS Inanam.

Katanya, sebarang masalah, salah faham dalam kalangan ahli haruslah diselesaikan secara kekeluargaan.

Fredolin menzahirkan penghargaan kepada Dr. Joachim yang telah merasmikan program tersebut dan turut berterima kasih kepada pengerusi penganjur merangkap Ketua Pemuda PBS Inanam, Albert Jumitih serta semua yang telah menjayakannya.

Program ini merupakan yang pertama diadakan dan diharapkan agar ia akan dijalankan pada tahun seterusnya.

Antara aktiviti yang dipertandingkan ialah perlawanan bola sepak wanita, perlawanan tarik tali dan pertandingan mewarna lukisan kanak-kanak.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Naib Presiden PBS, Datuk Ruslan Muharam; Penolong Setiausaha PBS merangkap Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Datuk Jonnybone Kurum; Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut, Ahli-ahli Majlis Tertinggi parti – Datuk Johnny Mositun, Datuk William Majimbon, Datuk Johnny Goh, Datuk Arthur Sen dan John Masabal serta Setiausaha Kerja PBS, Mesilus Roman dan Timbalan Ketua Bahagian PBS Inanam, Anis Lobinson.

RELATED ARTICLES
Utama

Komuniti Madani diseru manfaatkan aplikasi ‘PriceCatcher’, ‘Speedtest’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular