Kota Kinabalu : Pelaksanaan sistem e-Kariah dan e-Masjid yang diperkenalkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mampu membantu memperkasakan pendigitalan urustadbir masjid
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, melalui sistem itu, ianya juga dapat memberi dorongan semangat kepada jawatankuasa pengurusan untuk terus mengimarahkan masjid sebagai ‘One Stop Centre’ bagi umat Islam dan masyarakat sekitar.
“Hari ini saya telah melancarkan satu aplikasi yang baik yang diilhamkan oleh JHEAINS dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah.
“Saya yakin usaha ini akan dapat memberikan dorongan semangat kepada jawatankuasa pengurusan masjid dan imam di seluruh Sabah untuk terus memperkasa masjid, mengimarahkan masjid selain memastikan para jemaah kita selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Tokoh Imam, Anugerah Penarafan Masjid/Surau Kariah mesra Musafir, Anugerah Penarafan Masjid/surau Kariah (Kategori Kebersihan tandas dan ruang wuduk) serta anugerah kaunter terbaik Pejabat JHEAINS daerah Peringkat Negeri Sabah 2023 sempena Maulidur Rasul SAW di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.
Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.
Arifin berkata, pihaknya juga yakin dengan usaha yang diilhamkan JHEAINS itu akan dapat memperkemaskan lagi pengurusan khususnya dalam pembinaan dan baikpulih masjid serta surau di Sabah.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kepada pihak JHEAINS untuk turut mengkaji dan membuat usaha bagi menambah jumlah sekolah integrasi di negeri ini.
Katanya, pada ketika ini, sekolah integrasi di Sabah hanya dua dilaksanakan iaitu di Putatan dan Kota Kinabalu.
“Saya harap akan ada satu atau dua lagi yang perlu kita tambah di daerah-daerah terpilih untuk memudahkan ibu bapa. Sekarang kita sudah Sekolah Agama Negeri (SAN) sebanyak 100 buah.
“Ini juga baik untuk memudahkan anak-anak kita mengikuti pengajian asas agama. Demikian juga kita mendokong usaha Sekolah Agama Rendah (SAR),” katanya.
Arifin turut meminta sekolah-sekolah persendirian atau swasta di negeri ini untuk mendaftar dengan MUIS atau JHEAINS.
“Ini adalah bagi memastikan kita dapat pantau kokurikulumnya selain memantau infrastuktur serta sedikit sehanyak MUIS dapat membantu apabila ia sudah berdaftar,” katanya. – SABAH MEDIA