HomeSukanKarapaw Juara ‘Tug of War’ Regatta Perahu Naga Pulau Pinang 2023

Karapaw Juara ‘Tug of War’ Regatta Perahu Naga Pulau Pinang 2023

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Pasukan Karapaw Dragon Boat Sabah muncul juara bagi kategori ‘Tug of War’ dalam kejohanan Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang (PIDBR) 2023 yang diadakan baru-baru ini.

Dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Teluk Bahang Dam, Pulau Pinang itu, pasukan Karapaw yang diwakili lapan ‘anak Sabah’ muncul juara selepas berjaya menewaskan Pasukan Beijing International Dragonboat di pusingan akhir.

Ketua Pasukan, Tonny Gudang berkata, pasukan Karapaw baru ditubuhkan awal tahun ini dan sebahagian daripada peserta terlibat masih baharu dalam sukan perahu naga.

Namun katanya, berbekalkan semangat kuat dan keterujaan menyertai kejohanan peringkat antarabangsa itu menjadi pencetus kepada kemenangan berkenaan.

“Pasukan kami adalah satu-satu wakil dari Sabah dan sememangnya kami tidak meletakkan harapan terlalu tinggi melihat kepada penyertaan pasukan luar negara.

“Tambahan lagi sebahagian peserta yang baru saja mula berjinak-jinak dalam sukan perahu naga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tonny berkata, kemenangan ini sudah pasti akan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk terus mengharumkan nama negeri dan negara dalam kejohanan akan datang.

Tonny berkata, kejohanan kali ini disertai pelbagai pasukan berpengalaman dari dalam dan luar negara.

Katanya, selain pasukan tempatan, kejohanan turut disertai pasukan Australia, Brunei, Canada, China, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu, Hong Kong, Indonesia dan Jepun.

“Kejohanan PIDBR turut dimeriahkan dengan kehadiran pasukan dari Macau, New Zealand, Filipina, Poland, Qatar, Singapura, Korea Selatan, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vietnam,”katanya.

Untuk rekod, Pasukan Karapaw diketuai Tonny Gundang, 44 bersama Doris Lambert, 44; Fauzie Matjini, 42; Mohd Syahrom Pilok, 42; Flora Gudang, 41; Barbara Gloria Barahim, 40; Antonio Battistessa, 43; Masni Deri, 40 dan Shukri Maidin, 42 tahun.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC tampil dengan jersi ‘Tagap’ musim ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular