HomeIsu tempatanNDRC UMS giat usaha tingkat aspek pengurusan bencana negara

NDRC UMS giat usaha tingkat aspek pengurusan bencana negara

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat dalam usaha meningkatkan pelbagai aspek dalam pengurusan bencana negara. 

Terbaru, NDRC UMS telah terlibat dalam bengkel komuniti bertajuk Basic Social and Behaviour Change (SBC): Latihan Jurulatih (Training for Trainers, TOTs), anjuran UMS – UNICEF – Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan (C4D) yang berlangsung di sini, baru-baru ini. 

Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, bengkel tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan latihan serta gambaran keseluruhan terhadap pendekatan dalam Proses Perubahan dalam SBC bagi menggalakkan perubahan positif dalam tingkah laku dalam kalangan masyarakat terutamanya berkaitan pengurangan dan pengurusan risiko bencana di negeri Sabah.

“Usaha seperti ini perlu kerana terdapatnya keperluan penggunaan dan penyelarasan komunikasi yang lebih strategik serta berkesan untuk memastikan agar mesej, makluman serta tujuan sebenar sesuatu program yang dijalankan dapat tercapai daripada peringkat individu, komuniti, perkhidmatan sehingga ke pembuat dasar.

“Daripada pendekatan SBC ini, dapat dilihat kaedah ini mampu menggalakkan perubahan yang positif bukan hanya dari segi pengetahuan, sikap, norma, kepercayaan masyarakat, tetapi juga terhadap perubahan tingkah laku untuk bertindak dengan lebih betul terutamanya semasa berlakunya bencana,” katanya. 

Ujar beliau, ini juga penting kepada komuniti kerana pengetahuan terhadap risiko bencana dan kesiapsiagaan orang awam yang diperoleh daripada pendekatan komunikasi yang strategik serta berkesan pada akhirnya akan membantu mengurangkan kehilangan nyawa, kecederaan, kerosakan serta kerugian kos yang tinggi kepada negara.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu diketuai oleh Ketua C4D, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Dr. Lai Che Ching @ Abdul Latif.

Antara peserta yang hadir pada bengkel tersebut adalah wakil-wakil dari UNICEF-Malaysia, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS), WH Medicare Sdn. Bhd., dan beberapa pakar penyelidik UMS dari FSSK dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), UMS.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Peranan persatuan penting galakkan pendermaan darah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular