HomeUtamaProgram keagamaan skala besar, berkala dilaksana tahun depan

Program keagamaan skala besar, berkala dilaksana tahun depan

Read Time:2 Minute, 13 Second

Kota Kinabalu:  Program keagamaan berskala besar bakal dilaksanakan secara berkala di negeri ini mulai tahun depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif  berkata, program yang dirancang itu diyakini mampu dilaksanakan berdasarkan pencapaian serta kejayaan kolaborasi di antara agensi agama Islam di Sabah.

Katanya, ia melibatkan kolaborasi antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dengan jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada pelbagai jabatan negeri dan persekutuan.

“Saya melihat  bahawa kebersamaan dan keterlibatan jawatankuasa pelaksana bersama agensi Islam berupaya menghasilkan keputusan yang lebih berkualiti. 

“Ini terbukti melalui penganjuran tiga majlis tahlil baru-baru ini yang diselaraskan oleh JHEAINS telah berjalan dengan lancar dan jayanya.

“Justeru, kita akan mengadakan acara besar-besaran secara berkala dengan mendatangkan tokoh-tokoh agamawan  yang terkenal untuk datang berdakwah di Sabah, di samping dapat memastikan semarak majlis yang kita anjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Bagi Majlis Tahlil, Doa Kesyukuran dan solat hajat sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan  Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di sini, hari ini.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Exco Hal Ehwal Agama Islam di negeri ini berharap agar kerjasama yang padu di antara JHEAINS dan MUIS dengan agensi-agensi lain dapat ditingkatkan lagi khususnya dalam mengembangkan dakwah Islam.

“Semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah ke hadapan untuk bersama-sama berusaha merealisasikannya apa yang diinginkan.

 “Hasil gabungan kerjasama yang mantap, satu jaringan kecemerlangan mudah dan mampu untuk dicapai. 

“Hubungan yang berasaskan tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa  menyokong di antara satu sama lain perlu diwujudkan dalam kerja berpasukan,” katanya. 

Dalam pada itu, Arifin mengalu-alukan para tokoh ilmuan termasuk tokoh di jabatan serta agensi kerajaan di negeri ini agar bekerjasama dengan JHEAINS dalam penerbitan buku-buku agama.

“Saya menyeru kepada Pengarah JHEAINS, agar memperbanyakkan  kerja penerbitan buku kerana para ilmuan dan tokoh agama di Sabah ramai termasuk Mufti, Pengarah JHEAINS sendiri serta tokoh di jabatan-jabatan lain.

“Ini bermakna, MUIS dan JHEAINS akan menerbitkan karya-karya terbaik daripada para ilmuan ini yang amat baik untuk pembangunan ummah,” katanya.

Pada majlis apresiasi itu seramai 22 wakil jabatan serta agensi negeri dan persekutuan menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Arifin.

Antaranya, Istana Seri Kinabalu, Polis Kontinjen Sabah, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Jabatan Penyiaran Sabah, Bahagian Istiadat dan Protokol Jabatan Ketua Menteri dan sebagainya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular