HomeUtamaKonsert Rossa beri pengalaman luar biasa peminat di Sabah

Konsert Rossa beri pengalaman luar biasa peminat di Sabah

Read Time:3 Minute, 16 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa hadir memberikan pengalaman luar biasa buat para peminatnya dalam konsert julung kalinya diadakan di Sabah, Negeri di Bawah Bayu.

Tirai Konsert “Rossa Another Journey: The Beginning” dibuka dengan lagu ‘Malam Pertama’ menambat hati hampir 4,000 penonton di Dewan Sipadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini tepat pada jam 8.30 malam pada Jumaat.

Kehangatan konsert tambah meriah dengan kemunculan dua orang penyanyi jemputan terkenal iaitu Cakra Khan dari Indonesia dan Marsha Milan anak tempatan negeri Sabah.

Lebih 20 lagu dipersembahkan antaranya Aku Bukan Untukmu, Jangan Hilangkan Dia, medley Takdir Cinta, Ayat – Ayat Cinta, Khanti, Wanita, Masih, Terlalu Berharap, Sekali Ini Saja, medley Sangcheo – HYKS, Terlanjur Cinta, Kau, Akhirnya, Terlalu Cinta Versi EDM, Sakura, Hey Ladies dan medley lagu-lagu Malaysia.

Lima lagu-lagu medley lagu-lagu nostalgia Malaysia turut dinyanyikan oleh Rossa seperti lagu Janji Manis (Aishah), Suci Dalam Debu (Iklim), Fantasia Bulan Madu (Amy Search ft Inka Christie), Bukan Cinta Biasa (Siti Nurhaliza) dan Antara Anyer dan Jakarta (Sheila Majid).

Diakhir konsert penonton disajikan lagu ‘Hey Ladies” dengan pukulan drum oleh Rossa sangat menghiburkan dan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan para peminatnya di sini.

Sementara itu, keterujaan Rossa menjejakkan kaki dan membuat konsert di Sabah turut dikongsi ketika ditemui pemberita di sini.

“Sampai juga aku di Sabah…. Pemandangan di sini sangat indah, luar biasa, tetapi saya belum berkesempatan untuk meneroka lebih lagi mengenai keindahan di Sabah disebabkan masa terlalu singkat, itu tandanya saya akan kembali ke sini (Sabah),” kongsi Rossa penyanyi genit manis yang tidak lokek dengan senyum tawa, terlalu teruja sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan menjejakkan kaki ke negeri ini.

Katanya, bagaimanapun beliau sudah merasa makanan laut yang terdapat di Sabah tetapi ingin kembali ke sini lagi kerana tidak puas merasa keenakan dan kesegaran makanan laut kegemarannya itu.

“Saya sudah merasa makanan laut di Sabah seperti udang, ketam, ikan, ia segar, besar-besar, cara masakanpun lain, saya sangat suka, saya akan kembali ke sini.

“Saya juga berkesempatan bersarapan di sebuah coffee house yang sangat cantik pagi tadi,” katanya.

Namun apa yang penting misi utamanya adalah membuat persembahan di pentas berprestij di SICC pada malam itu sudah terlaksana dengan jayanya dan mendapat sambutan luar biasa dari seluruh peminatnya yang datang dari dalam dan luar negara.

“Saya sangat teruja mengadakan konsert malam ini (8 Nov), saya dengar ramai yang hadir bukan sahaja rakyat Sabah tetapi juga dari Singapura, Brunei, Kuala Lumpur dan juga Sarawak.

“Orang-orang kenamaan (VIP) pun ramai yang hadir dan saya sangat teruja dengan sokongan yang diberikan, Alhamdulillah…,” katanya.

Menurutnya lagi, apa yang paling istimewa beliau turut menyanyikan lagu-lagu medley Malaysia yang terkenal dari masa lampau sejak beliau kecil lagi.

“Malam ini saya menyanyikan lagu-lagu medley nostalgia Malaysia yang tidak pernah saya menyanyikannya di mana-mana konsert Another Journey ini, istimewanya hanya di Sabah. Ini sepatutnya saya nyanyikan di Kuala Lumpur setahun yang lalu untuk konsert 25 Years Shining saya tetapi hari ini, pengarah muzik saya memberi idea menyanyikan termasuk medley lagu Malaysia ini dan kami baru sahaja berlatih semula (rehearsal), saya sangat teruja dapat mempersembahkannya malam ini.

“Ini memberikan kejutan untuk rakyat Sabah termasuk kejutan untuk diri saya juga kerana ini sebenarnya spontaneous idea malah lagu-lagu nostalgia Malaysia ini saya sudah dengar sejak saya kecil lagi,” ujarnya.

Ditanya mengenai ada berlaku kurang sihat sebelum mengadakan konsert di Sabah oleh kerana cuaca tidak menentu pada ketika ini.

“Alhamdulillah sihat, beberapa hari ini saya hampir setiap hari menyanyi sebagai penyanyi jemputan di Jakarta, saya menganggap ianya sebagai latihan setiap hari sebelum ke Sabah,” katanya.

Menurutnya, Konsert Another Journey, The Beginning adalah konsert tour untuk album terbaharunya Another Journey sekali gus untuk mempromosikan campuran album lama termasuk lagu-lagu dari album terbaharunya.

“Ini sebenarnya adalah konsert tour saya untuk album Another Journey, The Beginning iaitu campuran beberapa lagu lama tapi seluruh album baharu saya sudah nyanyikan pada konsert malam ini,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular