Kota Kinabalu : Persatuan India Sabah (SIA) digesa untuk meneruskan legasi menjaga kebajikan dan memulihara tradisi masyarakat India khususnya di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, SIA yang ditubuhkan pada Ogos 1947 merupakan antara badan bukan kerajaan (NGO) tertua didaftar di Sabah.
“SIA ditubuhkan bertujuan untuk menjaga kebajikan masyarakat India di Borneo Utara British (British North Borneo) di samping memupuk dan meningkatkan kesedaran tradisi serta budaya India.
“Hal ini kerana tradisi dan budaya mencakupi amalan, cara hidup, makanan, pakaian, adat resam, seni dan sebagainya merupakan identiti penting sesuatu bangsa.
“Perkara ini seharusnya dipelihara dan diberi pendedahan kepada masyarakat terutamanya kepada golongan muda masa kini agar mengenali budaya dan warisan seterusnya meningkatkan jati diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Malam Muhibbah SIA 2023 di Dewan India Association, di sini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya turut menghargai sumbangan masyarakat India yang terlibat memajukan negeri Sabah.
“Masyarakat India di Sabah banyak menyumbang kepada pembangunan negeri dalam pelbagai aspek seperti ekonomi mahupun sosial.
“Kerajaan sangat menghargai pengorbanan dan sumbangan terhadap pembangunan negeri ini dan menyeru agar kita bersama-sama bersatu hati memastikan Sabah terus makmur dan sejahtera.
“Teruskan usaha dan komitmen untuk mara ke hadapan dalam memberi manfaat kepada masyarakat India dan penduduk setempat, diharapkan persatuan ini mengekalkan semangat perjuangan demi kebaikan bersama dan menjadi medium bersatu padu,” katanya.
Turut hadir Presiden SIA, Didar Singh, Pengerusi Penganjur, Datuk Abdul Kadir Sikkandar dan Pengerusi Penganjur Bersama, Datuk Dr. G. Mohan.