PUTRAJAYA: Datuk Ts Mustapha Sakmud komited menjalankan amanah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu dengan beberapa inisiatif untuk memperkasa belia negara antaranya melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi yang kalis masa depan.
“Saya akan teruskan komitmen dan jalankan amanah sebagai Timbalan Menteri sebaik mungkin di Kementerian Pendidikan Tinggi pimpinan Menteri KPT Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet di Bangunan Perdana Putra, pada Selasa.
Dalam pada itu Mustapha turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peluang kepada beliau menyambung perkhidmatan di Kementerian Pendidikan Tinggi selepas 12 bulan berkhidmat di Kementerian Sumber Manusia.
“Fokus Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat darjat Negara melalui kemakmuran ekonomi rakyat dizahirkan dengan rombakan kabinet yang lebih dinamik. Walaupun saiz kabinet bertambah, ianya merupakan jumlah yang optima dan masih kecil berbanding Kerajaan terdahulu.
“Terima kasih saya ucapkan buat seluruh warga kerja Kementerian Sumber Manusia yang begitu komited menjayakan agenda Malaysia Madani selama saya bertugas sebagai Timbalan Menteri,” katanya.
Beliau berkata beliau akan memberi perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan pemegang taruh Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Sesuai portfolio baharu saya di Kementerian Pendidikan Tinggi, saya akan memberi perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan pemegang taruh Kementerian, antaranya (tidak terhad) selain memastikan bakat mencukupi dalam negara sebagaimana permintaan para pelabur dengan melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi yang kalis masa depan, saya juga akan berusaha menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan belia yang kini pada 10.1 peratus.
“Disamping, meminimakan ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh (underemployment).
“Seterusnya, memperkasa sinergi antara Akademik dan Industri dalam mencapai objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Kerangka Ekonomi Madani dengan mendasari silibus akademik yang mengutamakan pendedahan industri sebenar,” katanya.
Mustapha berkata, beliau juga akan memastikan libat urus antara pelajar dan agensi Kerajaan berjalan dengan baik sebagai pendedahan kepada keperluan semasa.
“Selain, memastikan pelajar yang menjalani latihan praktikal mendapat elaun yang setimpal.
“Dan mempromosikan kesedaran kesihatan mental dan memperkasa Kekuatan Emosi dan Spiritual pelajar serta membimbing pelajar dari kalangan miskin tegar dan dari pedalaman untuk menghabiskan pengajian,” jelasnya.
Tambah beliau, beliau akan terus memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) merentas 12 kementerian yang dihubung dengan kolaborasi bersepadu.
“Saya akan meneruskan inisiatif Jejak TVET Madani bagi menonjolkan graduan TVET IPT berbakat besar dalam perusahaan dan merealisasi hasil inovasi IPT dipasar secara komersial,” ujar beliau lagi.