Kota Kinabalu : Misi Sabah FC untuk menamatkan aksi terakhir Piala AFC peringkat Kumpulan H dengan kemenangan tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada PSM Makassar di Stadium Likas malam ini.
Kemenangan PSM Makassar itu juga dilihat sebagai ‘misi balas dendam’ selepas tewas kepada skuad Sang Badak pada perlawanan pertama di Bali Indonesia dengan jaringan 5-0 pada 5 Oktober lalu.
Sabah dilihat lebih menguasai permainan dengan beberapa aksi tertumpu di kawasan lawan sehinggalah dikejutkan dengan jaringan pertama PSM Makassar pada minit ke-15 hasil jaringan Yakub Sayuri.
Jaringan itu adalah hasil serangan balas pemain PSM Makassar yang berjaya membawa keluar bola ke kawasan Sabah ketika tidak ramai pemain Sang Badak bertahan di kawasan sendiri.
Pasukan lawan sekali lagi menambah jaringan pada minit ke-35, juga hasil serangan balas pemain PSM Makassar, Everton Nascimento yang hanya berdepan Dominic Tan di pertahanan Sabah.
Malang bagi Dominic apabila bola terkena kakinya sebelum terpantul ke arah gawang dan gagal diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat sekali gus menghasilkan gol sendiri yang menguntungkan pihak lawan.
Tamat masa rehat, Sabah mula bermain lebih agresif untuk mencari gol sebelum akhirnya berjaya menjaringkan gol tunggal melalui tandukan Telmo Castanheira pada minit ke-72.
Usaha anak buah Datuk Ong Kim Swee selepas itu untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan gagal apabila PSM Makassar dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan minit ke-93 yang disempurnakan Everton.
Pengadil memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan selepas pemain Sabah, Rizal Ghazali menjatuhkan pemain PSM Makassar ketika situasi berbahaya di petak penalti tuan rumah.
Gol ketiga pasukan pelawat itu sudah cukup untuk meyukarkan usaha pemain Sabah untuk bangkit memandangkan tempoh permainan masa tambahan hanya berbaki kira-kira kurang dua atau tiga minit.
Sabah FC kekal ditangga pertama Kumpulan H dan lebih awal menempah tiket ke separuh akhir Piala AFC peringkat zon ASEAN selepas memenangi empat perlawanan dan dua kekalahan sepanjang aksi Kumpulan H. – SABAH MEDIA / FOTO AFC CUP