Kota Kinabalu : Kontinjen mewakili Membakut yang julung kali menyertai temasya Sukan Sabah (SAGA) pada tahun ini akan memberi tumpuan kepada beberapa acara utama.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, daerah yang baru dinaik taraf sebagai daerah penuh itu akan menghantar seramai 198 peserta termasuk pengurus pasukan.
“Hari ini saya meraikan ketua pasukan daripada daerah Membakut yang julung kalinya mewakili daerah baharu yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan DUN Bongawan.
“Beberapa acara akan kita jadikan tumpuan, antaranya Silat, Petanque, Olahraga, Bola Tampar, Badminton dan beberapa lagi acara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis meraikan ketua-ketua pasukan Kontinjen Membakut yang akan menyertai SAGA ke-10 di sini hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Membakut merangkap Ketua Kontinjen Ibrahin Terki.
Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, pihaknya berharap penyertaan daerah itu ke SAGA ke-10 dapat membawa nama Membakut ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, temasya itu juga diharap dapat menaikkan imej Membakut selain mengeratkan serta memperkenalkan daerah itu dengan pasukan lain.
“Bagi saya apa yang penting menerusi SAGA ini ianya akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pasukan seluruh daerah disamping kami dapat belajar sebanyak pengalaman dari daerah lain yang mengikuti dalam SAGA ini.
“Pada SAGA kali ini, kita juga akan memberi insentif kemenangan kepada atlet yang berjaya meraih pingat iaitu pingat emas sebanyak RM1,000; Perak (RM500) dan Gangsa RM300. Manakala bagi berkumpulan, kita akan bincang berdasarkan kesesuaian,” katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, kontinjen Membakut mensasarkan akan dapat meraih 10 pingat emas menerusi beberapa acara wajib dan pilihan.
“Kira sasar 10 emas dan untuk sukan utama kita sasar dapat meraih pingat menerusi Silat; Petanque; Bola Sepak dan Basikal,” katanya. – SABAH MEDIA