HomeUtamaPakar pengaturcaraan komputer beri 'sinar' baharu kepada dua pesakit

Pakar pengaturcaraan komputer beri ‘sinar’ baharu kepada dua pesakit

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Seorang pakar dalam pengaturcaraan komputer yang meninggal dunia akibat masalah perubatan menjadi penderma organ kesembilan di Sabah seterusnya memberi kehidupan baharu kepada dua pesakit menerusi organ yang didermakan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu telah melaksanakan prosedur pendermaan organ di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Pendermaan ini melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun iaitu mendiang Jonathan Ho yang disahkan meninggal dunia akibat masalah perubatan. 

“Pihak keluarga telah bersetuju mendermakan sepasang kornea (mata) setelah dimaklumkan ianya masih sesuai dan boleh membantu memulihkan penglihatan pesakit yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Asits berkata, mendiang Jonathan Ho yang berasal dari Kampung Tuunon Kolopis, Penampang merupakan seorang graduan ijazah dalam bidang Computer Information System dari Hawaii Pacific University di Honolulu, Amerika Syarikat pada tahun 1999. 

Katanya, mendiang juga aktif dalam persatuan pengaturcara dan sering terlibat sebagai penceramah jemputan dalam bengkel berkaitan ICT bagi membantu komuniti di Sabah menerokai dengan lebih mendalam bidang tersebut.

“Ahli keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang mesra, periang dan sentiasa ingin membantu golongan yang memerlukan tanpa ragu-ragu. 

“Ahli keluarga berasa bersyukur setelah dimaklumkan bahawa kornea yang didermakan telah berjaya ditransplan kepada dua orang pesakit di HQE dan berharap agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Asits berkata, pihaknya turut mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas pendermaan ini.

“Semoga roh mendiang bersemadi dengan aman dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.

“Di kesempatan ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada keluarga penderma organ yang lain yang memilih untuk merahsiakan identiti beberapa kes pendermaan yang telah dijalankan pada tahun ini.

“JKNS juga merakamkan penghargaan kepada HQE yang merekodkan lapan kes pendermaan kornea (mata) dan HQE II yang merekodkan satu kes pendermaan pelbagai organ (hati, buah pinggang dan kornea) bagi tahun 2023,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKNS

RELATED ARTICLES
Utama

Rebut peluang pendidikan yang disediakan Kerajaan – Ruslan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular