HomeUtamaCOVID-19 : KKM harap situasi dapat ditangani tanpa perlu PKP

COVID-19 : KKM harap situasi dapat ditangani tanpa perlu PKP

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk memperkenalkan semula sebarang sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pernah dilaksanakan pada awal pandemik COVID-19 meskipun terdapat peningkatan kes yang dicatatkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, pada masa ini KKM telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan COVID-19 melalui lima strategi utama.

Katanya, ia termasuklah  pengesanan awal kes COVID-19 dan varian SARS-CoV-2 selain pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek).

“KKM juga akan turut membuat pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes COVID-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.

“Selain itu, KKM juga akan turut melaksanakan pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan; dan pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam sidang media di ibu negara petang tadi.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, selain melaksanakan strategi yang ditetapkan, KKM juga menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan.

Katanya, ia termasuklah mengelakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang (3S) dengan jarak yang dekat selain mengamalkan amalan 3W iaitu Wash, Wear dan Warn.

“Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka adalah amat digalakkan. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi.

“Bagi yang bergejala, digalakkan melakukan penilaian kendiri tahap kesihatan serta dinasihatkan agar tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai.

“Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk,” katanya.

Dr Zulkefly berkata, orang ramai turut digalakkan untuk mengambil vaksin COVID-19 dos tambahan terutama kepada golongan yang berisiko tinggi; dan mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan atau pengamal perubatan swasta terdekat bagi individu positif COVID-19 dan berisiko tinggi.

Katanya, secara keseluruhan, walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan, keadaan semasa di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

“KKM akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian berkaitan di dalam dan luar negara,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bas ekspres jatuh gaung, enam mangsa cedera

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular