Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Sebanyak 41 buah syarikat milik anak tempatan negeri ini berjaya menerima Anugerah ‘Sabah Trusted Brand Award’ (STBA) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Anugerah yang disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib itu adalah bagi membuktikan anak jati negeri ini amat berkebolehan dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah Rosnani Tallesang berkata, anugerah yang disampaikan itu juga merupakan pengiktirafan bagi melambangkan titik permulaan untuk terus berjuang dalam mengharungi cabaran ekonomi selepas pandemik COVID-19 yang melanda negara sebelum ini.
“Anugerah yang akan disampaikan merupakan satu platform yang sangat penting dan bertujuan untuk mengenal pasti dan mempromosikan perniagaan jenama tempatan dalam menentukan tujuan, objektif dan nilai mereka kepada pengguna.
“Ia akan membantu pengguna memahami tujuan jenama perniagaan dan apa yang ingin dicapai serta untuk membantu kedua-dua pengguna dan usahawan-usahawan membuat pilih yang terbaik dan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah STBA 2023/2024 di sini.
Hadir sama Yang Dipertua MTPN Sabah Kevin Lo, Pengarah MYIPO Sabah Asmah Khalid serta tetamu kehormat yang lain.
Rosnani berkata, MTPN Sabah dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan akan menganjurkan pelbagai jenis kategori program kepenggunaan termasuklah pendidikan, kesihatan, perumahan, pekerjaan dan teknologi maklumat pada masa akan datang.
Katanya, ia adalah bertujuan bagi membantu peniaga yang berdaya saing dan juga membantu pengguna mendapatkan pendidikan dan informasi yang tepat dan benar dalam kepentingan jenama dalam bidang niaga masing-masing. – SABAH MEDIA