Kota Kinabalu : Sabah sudah menyiapkan lebih awal bekalan makanan dan keperluan untuk mangsa banjir di negeri ini bagi menghadapi kemungkinan bencana berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dalam tempoh terdekat.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, berkata Jabatan Perkhidmatan Kebajikan AM (JPKA) Sabah sudah menyediakan depoh sebagai tempat pengumpulan di semua daerah yang sering berlaku banjir.
Katanya, persiapan awal itu penting bagi memudahkan proses penyaluran bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan kampung yang terjejas jika berlaku banjir.
“Jabatan Kebajikan dan agensi lain yang berkaitan sudah siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang kementerian melalui Jabatan Kebajikan sudah menyediakan pos atau depoh untuk mengumpul semua barangan makanan.
“Begitu juga pihak pembekal, kita sudah mengarahkan agar bekalan untuk bencana banjir yang disediakan mencukupi di semua daerah yang terjejas,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Sabah Trusted Brand Award, di sini.
James diminta mengulas persiapan bagi menghadapi banjir, terutama aspek bantuan kepada mangsa di negeri ini sekiranya berlaku banjir akibat hujan berterusan sepanjang MTL ketika ini.
Katanya, persiapan tertumpu kepada beberapa daerah yang sering berdepan bencana banjir serius, khususnya Pitas, Paitan, Kota Marudu dan Beaufort.
“Jabatan Kebajikan sudah melaksanakan langkah perlu termasuk mengumpul bekalan makanan dan keperluan lain untuk mangsa banjir di daerah terbabit.
“Persiapan yang kita laksanakan ini sama seperti yang kita lakukan pada tahun lalu dan sebelumnya,” katanya.