HomeUtamaGolongan muda perlu bertemu komuniti, lihat dan nilai keharmonian masyarakat setempat

Golongan muda perlu bertemu komuniti, lihat dan nilai keharmonian masyarakat setempat

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu: Anak muda tempatan digesa untuk mendapatkan maklumat secara realiti dan tidak bergantung penuh dengan maklumat yang diperoleh secara maya. 

Pengarah Smart Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, anak muda perlu turun kepada komuniti khususnya ke kawasan-kawasan perkampungan untuk mengetahui dan mengenali dunia sebenar. 

“Anak muda bila turun kepada masyarakat kampung, kamu boleh secara terus melihat dan menilai keharmonian masyarakat yang sebenar. 

“Dari pemerhatian itu juga, anak muda akan secara tidak langsung boleh membawa masyarakat untuk lebih maju ke hadapan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Program Belia Sayang Kampung (BSK) di Kampung Rampayan, Menggatal di sini.

Razali pada masa sama berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu Smart Sabah akan sentiasa bersedia menyokong segala program-program belia yang boleh membawa kebaikan kepada masyarakat setempat seperti program BSK.  

“Tidak dinafikan, peranan anak muda sangat penting dalam masyarakat kita masa kini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan menyatakan penghargaannya kepada semua pihak terlibat khususnya kepada rakan-rakan strategik yang menjayakan program BSK tersebut. 

“Program ini merupakan program ketiga selepas diadakan di daerah Beaufort dan Kota Belud. 

“Kami berharap agar penduduk kampung terutamanya ketua kampung untuk menyokong program-program seumpama ini,” katanya. 

Pengerusi Penganjur, Mohammad Nazrul Nordin pula berkata, program mendapat sambutan cukup baik dari penduduk setempat. 

“Sasaran kehadiran pengunjung kami adalah sehingga 500 orang dan setakat petang ini, sasaran itu berjaya kita capai. MBS juga akan meneruskan program ini ke daerah-daerah lain di Sabah pada tahun depan,” katanya. 

Tambah Nazrul, BSK merupakan satu program menyantuni masyarakat yang melibatkan belia setempat serta beberapa rakan strategik MBS sama ada dari agensi kerajaan mahupun agensi swasta. 

“Menerusi program ini juga, para belia berpeluang untuk mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah seperti melakukan gotong royong pembersihan rumah, mendengar ceramah, melukis mural dan berskuan. 

“Manakala, bagi penduduk setempat pula, ia secara tidak langsung membantu mereka untuk menjana pendapatan dengan menjual produk mereka sendiri. 

“Selain itu, para pengunjung turut berpeluang untuk membeli barang keperluan menerusi Jualan Rahmah sekali gus menikmati pemeriksaan mata secara percuma,” katanya. 

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular