Beaufort : Kesukaran yang dihadapi lebih 1,000 penduduk di dua kampung di sini akibat kerosakan jalan yang berusia lebih 30 tahun itu berakhir apabila laluan terbabit diturap semula oleh pihak syarikat konsesi.
Laluan sejauh dua kilometer melibatkan laluan antara Kampung Tabuk dan Bawang Tengah sebelum ini mengalami kerosakan teruk hingga menyukarkan penduduk membawa keluar hasil tanaman atau berurusan di pekan Beaufort.
Atas keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, masalah itu mendapat pembelaan sewajarnya dan berjaya diselesaikan.
Ruslan berkata, pelaksanaan projek itu adalah hasil rundingan pihaknya dengan syarikat konsesi pada minggu lalu berikutan laluan itu telah lama tidak diselenggara.
“Jalan dari Kampung Tabuk ke Kampung Bawang Tengah ini adalah laluan utama pendudukan sama ada keluar ke pekan atau ke kebun, namun ia sukar dilalui kerana rosak hingga perlu segera diselenggara.
“Namun pada hari ini, jalan sudah diturap dan akan siap sepenuhnya dalam minggu ini juga. Justeru saya merakamkan penghargaan kepada syarikat konsesi atas tindakan segera,” katanya.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, sehingga kini hanya 46 jalan kampung telah berdaftar dengan Majlis Daerah Beaufort dan syarikat konsesi ini.
Katanya, sebanyak 60 buah jalan lagi masih belum berdaftar dan pendaftaran akan dilaksanakan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan. – SABAH MEDIA