KOTA KINABALU: Mayat seorang bayi perempuan cukup sifat ditemui oleh seorang penyelia syarikat pembersihan di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Khamis malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, pihak polis telah menerima aduan dari seorang penyelia syarikat pembersihan di salah sebuah pusat membeli belah di daerah Kota Kinabalu telah menemui satu mayat bayi perempuan yang cukup sifat dalam sebuah tong sanitasi semasa hendak menukar plastik tong sampah sanitasi tersebut pada Khamis (21 Dis) jam 9.40 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati mayat bayi perempuan tersebut cukup sifat ditemui dalam keadaan dibalut dengan kain tuala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kalsom berkata, turut ditemui bersama mayat bayi tersebut satu cebisan kertas yang tertulis nota “Saya meminta maaf dan meminta tolong mencari tempat sesuai untuk anak saya. Terima kasih pertolongan anda. Jangan kecam saya. Saya pun tidak mahu ini terjadi.”
Sehubungan dengan itu, Kalsom berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian selain membuat risikan maklumat bagi mengenalpasti suspek yang terlibat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan akan dijatuhi hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta berhubung dengan Inspektor Hatikah Ahmad @ Abd Ghani ditalian 0168337243,” katanya.