HomeEkonomiPPIB, UMS pupuk budaya pertanian komersial kalangan komuniti luar bandar dalam penanaman...

PPIB, UMS pupuk budaya pertanian komersial kalangan komuniti luar bandar dalam penanaman ‘bawing’

Read Time:3 Minute, 49 Second

KOTA BELUD: Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memupuk budaya pertanian komersial dalam kalangan komuniti luar bandar khususnya tentang penanaman herba lokal ‘bawing’.

Justeru PPIB, UMS telah berjaya menganjurkan satu program Go Glocal and Spread your Wings with Bawing:
Projek Pembangunan Modul, Pembinaan Nurseri serta Pemindahan Ilmu Penanaman Bawing dalam kalangan Komuniti di Kota Belud.

Program ini telah dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan Mac sehingga Disember 2023 di tapak Nurseri Bawing yang juga merupakan Makmal Hidupan UMS (UMS Living Lab) bertempat di Kampung Taun Gusi 2, Kota Belud.

Program ini juga dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Usahawan Wanita (PUW), Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kota Belud di bawah pimpinan Natalia Hassan (Pengerusi) dan Syarikat Arked Print di bawah teraju usahawan tempatan, Tentera Gulang (Pengarah Urusan).

Duduk dari kiri: PM Dr Halina Sendera Mohd Yakin (Ketua Projek/Penyelidik), Natalia Hassan (Pengerusi Persatuan Usahawan Wanita IKS Kota Belud), Tentera Gulang (Pengarah Urusan Arked Print) dan Ts Dr Januarius Gobilik (Timbalan Ketua Projek) Berdiri ketiga dari kiri: Dr Abdul Hair Beddu Asis (Ahli Projek/Pensyarah PPIB) Berdiri ketiga dari kanan: Dr Noorafini Kassim (Ahli Projek/Pensyarah PPIB).

Kira-kira 20 orang komuniti terdiri daripada PUW, IKS menyertai program berkenaan.

Penganjur merakamkan gambar kenangan bersama peserta program.

Menurut Prof. Madya Dr Halina Sendera Mohd Yakin dari PPIB, UMS selaku Ketua Projek merangkap Ketua Kumpulan Penyelidikan Berhubung Pembudayaan Pertanian Komersial, matlamat program ini adalah untuk memupuk budaya pertanian komersial dalam kalangan komuniti luar bandar khususnya tentang penanaman bawing.

Dr Halina dengan banner rekaannya sendiri.

Selain itu, katanya, ia juga dapat mempromosi herba lokal seperti bawing yang mempunyai pelbagai manfaat dari sudut gastronomi, kecantikan, kesihatan, kelestarian alam.sekitar, kesejahteraan serta kerohanian.

“Projek berkenaan adalah hasil daripada dua geran universiti yang berkaitan dan berkesinambungan, iaitu Dana Strategik dan Dana Living Lab.

“Hasil daripada penyelidikan berkenaan telah melahirkan tiga modul berkaitan penanaman, inovasi dan pemasaran serta beberapa prototaip berasaskan herba ‘bawing’.

“Program ini menjadi platform kepada penyelidik untuk mengembangkan projek berinovatif di samping memperkukuhkan hubungan antara UMS dengan entiti luar termasuklah badan kerajaan, industri dan komuniti tempatan,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Halina berkata, pelaksanaan projek ini disifatkan sebagai perintis kepada penyelidikan lanjutan di samping bertindak sebagai sumber bekalan untuk projek inovasi dan pengkomersilan produk berasaskan herba tempatan serta aktiviti bersama komuniti pada masa hadapan.

“Pada tahun ini, hanya program pemindahan ilmu berhubung penanaman bawing berjaya dilaksanakan.

“Pada masa hadapan program lanjutan berhubung pemasaran dan inovasi bawing akan turut dilaksanakan,” ujarnya.

Sementara itu, kesan dan maklumbalas daripada penganjur dan komuniti mendapati hasil daripada program pemindahan ilmu, di penghujung program pada 21 Disember 2023, semua peserta berjaya menghasilkan sistem fertigasi pananaman bawing.

Pengerusi PUW, Natalia berkata, program tersebut membantu usahawan wanita di Kota Belud memanfaatkan peluang perniagaan yang terbuka di depan mata dan memacu ekonomi perindustrian di daerah Kota Belud di samping memartabatkan semula sektor pertanian negara.

Manakala Tentera turut bersetuju bahawa program tersebut memberi manfaat kepada masyarakat amnya terutama penduduk di Kota Belud.

“Saya berharap masyarakat Kota Belud dapat berfikiran jauh di luar kotak minda serta memanfaatkan tanaman yang tumbuh di persekitaran kehidupan masyarakat setempat kerana ia mampu menjana sumber ekonomi dan menjadi tarikan sektor pelancongan,” katanya.

Wakil Komuniti Kota Belud yang merupakan pekebun dan pengusaha gerai, Maimunah Abdul Karim serta kakitangan kerajaan, Suzianah Jiffar menyifatkan pembinaan nurseri bawing sebagai satu usaha murni untuk membantu komuniti meningkatkan ekonomi keluarga dengan menjual hasil tanaman bawing kepada pihak berkenaan di samping memanfaatkan masa terluang serta tanah terbiar dengan aktiviti berfaedah seperti bercucuk tanam.

Dalam pada itu, Dr Halina berkata, dengan moto ‘Go Glocal and Spread your Wings with Bawing, beliau mengesyorkan agar masyarakat dapat mempelbagaikan hasil tanaman dan menggunakan produk lokal.

Beliau yakin herba lokal bawing dapat pergi jauh di persada global sekiranya diusahakan bersungguh-sungguh oleh penyelidik universiti dan mendapat sokongan daripada komuniti lokal dan pemegang taruh berkenaan.

“Hal ini penting bagi membuka mata dan minda serta menyiap siagakan masyarakat terhadap landskap ekologi dunia dan ekonomi negara yang semakin mencabar.

“Inisiatif berkenaan dilihat signifikan dalam usaha merubah status quo serta menggembleng tenaga membantu Malaysia meningkatkan produktiviti dan seterusnya merealisaikan agenda Sabah Maju Jaya terutamanya dalam sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian seiring dengan moto UMS sebagai peneraju ke arah masyarakat berinovatif (‘leading towards innovative societies’),” tambah Dr Halina.

Fasilitator/Penceramah/Pensyarah dari UMS terdiri daripada Prof Madya Dr Halina Sendera Mohd Yakin, Ts Dr Januarius Gobilik, Dr Abdul Hair Beddu Asis, dan Dr Noorafini Kassim.

Program turut mendapat sokongan padu daripada seluruh warga UMS terutama Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Dekan PPIB, Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM), Pengarah Pusat Pengurusan Eco-Campus dan Pusat Pengurusan Penyelidikan, UMS.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh, suspek berjaya ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular