HomeUtamaPerpaduan stabilkan pentadbiran, pembangunan negeri- Tun Juhar

Perpaduan stabilkan pentadbiran, pembangunan negeri- Tun Juhar

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu: Usaha mengekalkan perpaduan amat penting dalam menjamin  kestabilan pentadbiran dan pembangunan negeri.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam Perutusan Perayaan Hari Krismas 2023 dan Tahun Baharu 2024 menggesa rakyat untuk terus mengekalkan persefahaman dan perpaduan demi menjaga keharmonian sesama kaum.

Katanya, perpaduan kaum yang dipupuk harus terus dipelihara agar aspek pentadbiran negeri termasuk politik, ekonomi dan sosial terus kukuh dan stabil.

Menurut Tun Juhar, rakyat di negeri ini amat bertuah kerana dapat hidup aman damai serta bebas daripada kekacauan kerana mengamalkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Sinergi antara kerajaan negeri, semua agensi dan rakyat adalah penting dalam mengekalkan keserasian dan kerjasama yang padu sehingga dapat memberi impak yang lebih baik kepada negeri Sabah.

“Melaluinya kita mampu berbuat yang terbaik kerana berada pada momentum dan di landasan yang betul ke arah kemajuan negeri.

“Kita tidak akan mudah terpengaruh atau tergugat oleh mana-mana pihak jika kita sudah berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

Di samping itu, Tun Juhar turut mengingatkan semua pihak agar jangan mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dimiliki ketika ini.

Sebaliknya, beliau mahu semua peringkat masyarakat untuk terus mempertingkatkan usaha dengan mengoptimumkan segala sumber yang ada demi memajukan negeri ke tahap yang lebih baik dari sebelumnya.

“Saya menyeru semua pihak agar menanam iltizam dan semangat baharu untuk berusaha dengan lebih gigih pada tahun hadapan supaya kita mampu meningkatkan prestasi dalam membangun negeri ini kearah yang lebih baik.

“Selagi kita sanggup berusaha lebih giat dan tidak mudah mengalah kita mampu melakukannya,” tambah beliau.

Tun Juhar turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat kepimpinan negeri dan persekutuan serta seluruh rakyat atas usaha gigih dalam membawa negeri Sabah mencapai pelbagai kejayaan sepanjang tahun ini.

“Tidak lupa juga penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, pasukan-pasukan keselamatan, agensi-agensi penguat kuasa, sektor swasta dan semua pihak atas dedikasi dan sumbangan kepada kesejahteraan dan keamanan negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular