OLEH :- Wan Azrain Adnan
1. Sabah miskin kerana kepimpinan Kerajaan Malaysia dan Sabah terdahulu telah gagal mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah satu fakta yang tidak boleh di pertikaikan oleh mana-mana pihak. Kepimpinan Kerajaan Malaysia telah gagal menunaikan hak Sabah. Manakala kepimpinan Kerajaan Sabah pula telah gagal untuk memperjuangkan hak Sabah.
2. Kegagalan tersebut merupakan satu perkara yang amat mendukacitakan kerana pemimpin di pilih oleh rakyat untuk menegakkan serta mempertahankan Perlembagaan. Namun begitu, prinsip Keluhuran Perlembagaan sebagaimana termaktub di dalam Rukun Negara telah di cabul oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
Jika Orang yang melanggar undang-undang di panggil penjenayah, Apa pula panggilan untuk orang yang melanggar Perlembagaan? Pengkhianat?
3. Adalah jelas, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima Geran Khas Tahunan dengan kadar dua perlima (40%) daripada hasil yang di perolehi oleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah.
4. Walaubagaimanapun, menurut Presiden Parti Cinta Sabah, Kerajaan Persekutuan telah gagal membayar Geran Khas Tahunan tersebut kepada Sabah sejak tahun 1973. Ini bermakna, selama 50 tahun, hak Sabah telah di nafikan. Oleh kerana itu, Sabah telah kehilangan hasil yang begitu banyak. Ini seterusnya telah menghukum rakyat Sabah dengan ‘penjara kemiskinan’ untuk sekian lama.
5. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2020, Sabah memiliki peratusan kemiskinan mutlak/ hardcore poverty tertinggi (25.9%) di Malaysia, jauh lebih tinggi dari peratusan negara (8.4%). Malah dua daerah di Sabah, iaitu Tongod dan Pitas, telah mencatatkan peratusan kemiskinan mutlak melebihi 50%!
6. Kemiskinan Mutlak adalah keadaan di mana pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas hidup iaitu – makanan, tempat perlindungan dan pakaian.
7. Kadar kemiskinan rakyat Sabah yang begitu tinggi sebenarnya boleh di elakkan dan di atasi jika hak Sabah di tunaikan sepenuhnya. Ini kerana Sabah adalah sebuah wilayah yang kaya dengan pelbagai hasil bumi. Malah Sabah lebih ‘kaya’ berbanding dengan majoriti negeri-negeri di Malaysia. Tambahan lagi, tidak salah untuk di nyatakan bahawa banyak negeri di Malaysia telah di bangunkan dengan hasil bumi Sabah.
8. Sebagai contoh. Belanjawan Sabah 2024 yang di bentangkan baru-baru ini menganggarkan pendapatan sebanyak RM 5.737 billion, dan anggaran perbelanjaan sebanyak RM 5.701 billion.
9. Sebagai perbandingan: Belanjawan Selangor 2024 hanyalah 38% daripada Belanjawan Sabah 2024, dengan unjuran pendapatan sebanyak RM 2.2 billion dan unjuran perbelanjaan sebanyak RM 2.53 billion. Manakala Belanjawan Johor 2024 pula hanyalah 31% daripada Belanjawan Sabah 2024, dengan unjuran pendapatan sebanyak RM 1.804 billion dan unjuran perbelanjaan sebanyak RM 1.799 billion sahaja.
10. Pada masa yang sama, Sabah juga memiliki jumlah rizab kewangan/ simpanan yang besar. Pada Mei 2023, Ketua Menteri Sabah menyatakan bahawa rizab kewangan Sabah adalah berjumlah RM 6.78 billion. Mengikut data sediada, hanya Sarawak mempunyai rizab kewangan yang lebih tinggi dari Sabah, iaitu melebihi RM 30 billion. Selangor mempunyai rizab kewangan berjumlah RM 3.35 billion (tahun 2022) dan Johor mempunyai rizab kewangan berjumlah RM 1.38 billion (tahun 2021).
11. Cabaran pertama untuk memenuhi hak Sabah ialah menentukan nilai Geran Khas Tahunan tersebut, seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Salah satu cara untuk menentukan nilai 40% tersebut ialah dengan meneliti data pembayaran cukai, dengan merujuk kepada datadi agensi-agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Ini kerana semua syarikat yang beroperasi di Sabah membayar cukai ke atas hasil yang di perolehi di Sabah kepada Kerajaan Persekutuan. Maka kutipan cukai tersebut perlu di teliti secara terperinci untuk menentukan jumlah 40% yang wajib di serahkan kepada Sabah.
12. Justeru itu, baru- baru ini Parlimen telah meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia untuk memperuntukkan keanggotaan tetap wakil Sabah dan Sarawak sebagai Ahli Lembaga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini dapat meningkatkan penglibatan serta ketelusan di dalam pengutipan dan pengurusan hasil Sabah dan Sarawak.
13. Di samping itu, untuk menentukan nilai Geran Khas Tahunan tersebut, data perdagangan Sabah adalah satu sumber yang boleh di guna-pakai sebagai rujukan. Menurut laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2022, tiga eksport utama Sabah menyumbang sebanyak RM 56.6 billion (73%) kepada keseluruhan eksport Sabah. Ini merangkumi: petroleum mentah (RM 30.3 billion, 39.9%), minyak kelapa sawit (RM 21.1 billion, 27.4%) dan gas asli cecair (RM 5.2 billion, 6.7%).
14. Data laporan berkenaan memberikan gambaran yang jelas nilai hasil bumi Sabah yang berjaya di wujudkan. Dengan menggunakan data berkenaan, nilai 40% hak Sabah tersebut sudah pasti mencecah sehingga berbillion-billion ringgit.
15. Tambahan lagi, laporan dari agensi yang terlibat secara langsung di dalam industri berkenaan juga boleh memberikan data untuk menentukan nilai Geran Khas Tahunan tersebut. Sebagai contoh. Menurut data Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB), Sabah memiliki keluasan ladang kelapa sawit ke-2 terbesar di Malaysia, dengan keluasan 1.5 juta hektar, merangkumi 26.5% dari keseluruhan keluasan ladang kelapa sawit di Malaysia.
16. Pada tahun 2022, Sabah telah menghasilkan sejumlah 4.28 juta tan Minyak Sawit Mentah/ Crude Palm Oil (CPO), iaitu 23% dari keseluruhan jumlah CPO yang di hasilkan oleh Malaysia. Dan menurut laporan MPOB, pada tahun 2022, purata harga CPO adalah RM 5,087.50/ tan. Maka, dengan pengiraan mudah, nilai CPO yang di hasilkan oleh Sabah pada tahun 2022 adalah berjumlah RM 21.8 billion. (4,286,665 tan x RM 5,087.50/ tan).
Jumlah ini selari dengan jumlah di dalam laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
17. Oleh yang demikian, dengan menggunakan data berkenaan, nilai Geran Khas Tahunan Sabah dari industri kelapa sawit sahaja sudah pasti melebihi berbillion-billion ringgit.
18. Justeru itu, cabaran pertama ini mesti di selesaikan segera dengan memastikan ketepatan serta ketelusan data untuk menentukan nilai Geran Khas Tahunan Sabah. Ini adalah satu usaha yang agak mencabar kerana data yang di perolehi dari pelbagai sumber boleh memberikan nilai yang berbeza.
19. Cabaran seterusnya ialah samada Kerajaan Persekutuan memiliki kemampuan untuk membayar sepenuhnya Geran Khas Tahunan kepada Sabah setiap tahun. Ini adalah cabaran utama kerana tiada guna-nya Geran Khas Tahunan tersebut dapat di nilai dengan tepat, tetapi tidak mampu di bayar sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
20. Pada pertengahan Disember 2023, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah di laporkan berkata bahawa beliau sangsi akan keupayaan Kerajaan Persekutuan untuk membayar sepenuhnya Geran Khas Tahunan Sabah tersebut, berdasarkan situasi kewangan semasa.
21. Pada masa yang sama, bagaimana pula dengan Geran Khas Tahunan Sabah yang tertunggak sejak 1973? Adakah Kerajaan Persekutuan akan dan mampu membayar hutang tersebut?
22. Sebelum tahun 2020, Sabah hanya menerima Geran Khas Tahunan sebanyak RM 26.7 juta setahun. Selepas itu Geran Khas Tahunan telah di tingkatkan: RM 53.4 juta (2020), RM 125.6 juta (2022), RM 260 juta (2023). Jumlah pembayaran ini adalah sangat kecil berbanding dengan nilai 40% yang layak di terima oleh Sabah. Maka, hutang tunggakan Geran Khas Tahunan dari Kerajaan Persekutuan kepada Sabah amatlah besar.
23. Malah, jumlah hutang ini akan terus bertambah sekiranya Sabah masih tidak menerima sepenuhnya Geran Khas Tahunan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.
24. Sekiranya benar Kerajaan Persekutuan tiada keupayaan untuk membayar sepenuhnya Geran Khas Tahunan tersebut, maka isu-isu yang di hadapi oleh Sabah akan berpanjangan untuk masa yang lebih lama. Isu-isu kemiskinan, pengganguran dan pertumbuhan ekonomi akan terus menghantui rakyat Sabah.
25. Rakyat Sabah yang tidak bersalah telah menjalani hukuman ‘penjara kemiskinan’ untuk tempoh yang begitu lama, dari satu generasi ke satu generasi. Tanpa penyelesaian segera, ‘penjara kemiskinan’ ini akan menjadi hukuman penjara seumur hidup.
26. Sabah bumi yang kaya, tetapi rakyat menderita miskin. Ketidak-adilan ini mesti di betulkan segera.