Putatan : Penyediaan kemudahan sukan yang lengkap mampu membantu para atlet mempamerkan kesungguhan untuk mencipta nama ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, fasiliti sukan yang ada juga dapat menyuburkan budaya masyarakat untuk terus mengamalkan budaya hidup sihat.
“Sudah pasti kalau kita berbicara apa juga aktiviti yang diceburi, memang prasarana itu penting. Contohnya sukan kita memerlukan kemudahan-kemudahan seperti padang, trek dan balapan serta mungkin juga bilik-bilik latihan atau gymnasium.
“Di Putatan buat masa ini kita ada Kompleks Belia dan Sukan Persekutuan yang ada menyediakan beberapa kemudahan. Sekarang di daerah Putatan juga kita sedang membina mini stadium Putatan yang dijangka siap pada pertengah 2025 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program penyerahan insentif kepada atlet Kontinjen Sukan Sabah (SAGA) daerah Putatan di sini semalam.
Pada majlis itu, Shahelmey menyampaikan insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat dalam SAGAe edisi ke-10 yang berlangsung baru-baru ini.
Pada temasya itu, kontinjen Putatan berjaya meraih tiga pingat emas; empat pingat perak dan 14 pingat gangsa.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pihaknya merakamkan penghargaan tahniah kepada semua atlet yang berjaya khususnya yang meraih pingat emas dalam acara Petanque; Hoki Wanita dan acara Olahraga.
“Majlis ini kita laksanakan untuk menunaikan janji sewaktu pelancaran kontinjen SAGA Putatan pada pertengahan bulan ini untuk kita memberi motivasi kepada para atet yang ada di Putatan.
“Ini adalah satu gerak kerja ataupun budaya yang kita sedang pupuk dikalangan masyarakat Putatan iaitu budaya berprestasi atau mencapai kecemerlangan,” katanya. – SABAH MEDIA