HomeUtamaCOVID-19: Pemakaian pelitup muka masih digalakkan di sekolah

COVID-19: Pemakaian pelitup muka masih digalakkan di sekolah

Read Time:1 Minute, 54 Second

BERNAMA

Taiping: Makluman berkenaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan mengekang penularan COVID-19 di sekolah dan institusi pendidikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada April tahun lalu masih terpakai hingga kini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Wong berkata, antara SOP itu membabitkan penggalakan pemakaian pelitup muka kepada guru, murid dan pelajar, selain warga sekolah perlu melakukan ujian kendiri jika bergejala serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

“Bagaimanapun, kita tahu bahawa isu COVID-19 ini mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, dan pihak KPM akan sentiasa berbincang dan berkolaborasi dengan pihak KKM (Kementerian Kesihatan) berkenaan cara atau SOP kita untuk cegah penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita pada Program Semarak Taiping di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah kerajaan sekiranya berlaku penularan COVID-19 di sekolah berikutan perkembangan semasa wabak itu di dalam negara.

Pada 29 Disember lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan berkata, situasi kekal terkawal dengan kebanyakan kes dilaporkan membabitkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital, selain tiada varian baharu COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Ditanya jika KPM akan menutup sementara sekolah yang terjejas dengan penularan COVID-19, Wong berkata kementerian itu akan mengendalikan setiap kes dengan teliti dan mendapatkan nasihat daripada KKM untuk tindakan selanjutnya jika keadaan penularan menjadi serius.

“Segala SOP harus kita muktamadkan selepas berbincang dengan KKM. Pihak KPM akan terus memantau isu ini, jadi kita akan tengok apa yang berlaku selepas sekolah dibuka semula (pada 2 Jan),” katanya.

Sementara itu, mengenai pemakaian semula pakaian seragam sekolah, Wong berkata setakat ini KPM tidak berbincang berhubung perkara itu dan tiada ketetapan diputuskan tempoh kelonggaran pakaian sukan terpakai di seluruh negara.

Beliau berkata, meskipun cuaca kini tidak lagi panas seperti sebelum ini, terdapat pula beberapa sekolah di Pantai Timur yang terjejas dengan bencana banjir.

“Bagi pihak KPM, kita selalu pegang prinsip kemanusiaan yang kita mahu memberikan kesenangan dan kelonggaran kepada anak-anak kita dalam pembelajaran mereka. Apa yang penting bagi kita ialah kandungan pembelajaran daripada isu lain,” katanya.

Pada 20 Mei tahun lalu, KPM tidak menetapkan tempoh kebenaran bagi murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian atau baju sukan ketika cuaca panas yang berlaku ketika itu, dengan Menterinya Fadhlina Sidek berkata kebenaran khas itu bergantung kepada keadaan cuaca. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Bas ekspres jatuh gaung, enam mangsa cedera

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular