Kota Belud: Rakyat di negara ini diajak untuk bersama-sama menjadikan Tahun Baharu 2024, tahun yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, tahun ini akan menjadi lebih baik dengan menjadikan segala kejayaan dan pencapaian sebelum ini sebagai motivasi dan inspirasi, serta menjadi cabaran dan kekangan sebagai ikhtibar dan teladan.
“Walaupun tahun-tahun sebelum ini sudah pasti banyak cabaran yang kita telah lalui, namun yang positif kita jadikan motivasi dan teladan untuk terus memberikan yang terbaik pada tahun ini dan yang kurang baik, kita jadikan ikhtibar untuk menjadi yang lebih baik.
“Ini juga adalah peringatan untuk saya sebagai Wakil Rakyat Kadamaian dan Penampang yang juga mempunyai tanggungjawab di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Tahun Baharu 2024 Gereja SDA Gaur dan Perasmian Dewan Agape SRA Gaur, di Kg.Gaur, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Ewon merasmikan Dewan Agape SRA Gaur yang dibina pada tahun 2023 menggunakan peruntukannya sebanyak RM70,000.
Beliau turut bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menaiktaraf kemudahan bangunan Gereja SDA Kg Gaur dan menyampaikan peruntukan RM40,000 kepada Gereja SDA Kg Marou susulan lawatan beliau yang terdahulu.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, negara memerlukan kestabilan politik yang terhasil daripada perpaduan rakyat agar kemakmuran ekonomi dapat dibina dan dikecapi.
“Negara kita boleh kembali bersaing di persada dunia apabila kita memfokus kepada perkara-perkara yang betul untuk rakyat dan negara kita.
“Pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana juga memerlukan tumpuan besar agar bertumbuh menjadi pesaing serantau dan kompetitif di peringkat antarabangsa. Saya akan memikul peranan ini bersama warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Begitu juga dengan mandat saya sebagai Wakil Rakyat Kadamaian dan Penampang. Melalui Pelan Pembangunan Penampang dan Pelan Pembangunan Kadamaian, saya akan terus berusaha dan bekerja keras untuk berinisiatif membawa masuk pembangunan yang diperlukan rakyat,” katanya.
Selepas majlis itu, beliau turut meluangkan masa menghadiri majlis respesi perkahwinan Hadlee Panchai dan Brenda, di Dewan Kadamaian Square Taginambur.