Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Aspirasi Mayor Bandaraya Kota Kinabalu ke-7 yang baharu dilantik, Dato’ Sri Dr Sabin Samitah ingin menjadikan bandaraya itu sebuah bandar yang lebih meriah (vibrant city) meliputi infrastruktur dan ekonomi yang maju, landskap menarik dan ceria, serta warga kota yang lebih mesra.
Disamping itu juga beliau mahu memperkasa tahap kebersihan dan keselamatan di bandaraya Kota Kinabalu lebih terjamin kerana ia merupakan lokasi tumpuan pelancong.
Dr Sabin berkata, beliau berterima kasih kepada kesemua mayor sebelumnya kerana telahpun meletakkan asas yang kukuh terhadap pentadbiran bandaraya Kota Kinabalu.
“Mereka telahpun membuat yang terbaik walau bagaimanapun dalam setiap keadaan atau setiap mayor mereka juga mempunyai kelebihan dan juga kekangan yang dihadapi mereka, jadi berkenaan dengan visi dan aspirasi, saya akan meneruskan apa yang telahpun digariskan dalam Hala Tuju Bandaraya Kota Kinabalu.
“Mereka mempunyai pelan pembangunan dengan beberapa perubahan seperti yang diminta oleh Kerajaan Negeri Sabah dan dipihak diri saya sendiri saya akan memastikan bandaraya kita ini menjadi lebih kepada ‘vibrant city’, dia dah vibrant sebenarnya tapi we will make more vibrant,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Mayor DBKK di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu beliau turut yakin akan mendapat sokongan dan kerjasama yang baik dari gerak kerja pasukannya dalam Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Saya mempunyai pegawai dan staf daripada ketua pengarah, timbalan ketua pengarah, warga DBKK yang sangat komited di dalam kerja mereka dan saya yakin aspirasi saya ini, inshaAllah boleh tercapai.
“Kalau kita lihat bandaraya Kota Kinabalu ini sangat indah dan cantik menjadi tarikan pelancong, kita akan teruskan menjaga alam semulajadinya, dengan adanya sumber manusia berpendidikan tinggi dan berpengetahuan serta mempunyai jati diri yang tinggi, saya yakin bukan sahaja Kerajaan Negeri Sabah tetapi syarikat-syarikat di sini serta peniaga-peniaga di sini mampu bekerjasama untuk menjadikan bandaraya ini sebuah bandaraya yang lebih maju lagi,” katanya.
Tambahnya, beliau akan memastikan tahap kebersihan dan kecantikan bandaraya serta keselamatan akan terus dipertingkatkan lagi.
“Disamping itu kita juga akan memastikan tahap kebersihan di bandaraya KK akan dipertingkatkan lagi dari segi tahap kecantikan, antaranya landskap seperti menanam bunga-bunga, lampu lebih terang, tandas bersih dan mencukupi, warga kota lebih mesra, itulah harapan saya apabila saya menjadi mayor di sini.
“Selain itu, saya melihat keadaan lalu lintas di sini dan saya akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenainya, sebenarnya perkara ini telah pun diambil tindakan oleh pihak pengurusan yang lama tapi dalam setiap keadaan dan pembaharuan akan berlaku perubahan, perubahan ini kita kena laksanakan supaya menjadi kenyataan,” ujarnya.