HomeIsu tempatanDua bot pelancong ditahan selepas bawa penumpang lebih had muatan, abai aspek...

Dua bot pelancong ditahan selepas bawa penumpang lebih had muatan, abai aspek keselamatan

Read Time:1 Minute, 5 Second

Kota Kinabalu : Tindakan dua bot pelancong di sini yang membawa penumpang melebihi had dan mengabaikan aspek keselamatan menerima padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan pada kedudukan 0.18 batu nautika Barat Jeti Jesselton, Kota Kinabalu jam 4.30 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot pertama, mendapati bot yang dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan telah membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.

“Manakala pemeriksaan ke atas bot kedua mendapati bot terbabit tidak membawa peralatan keselamatan seperti mana yang telah dinyatakan dalam butiran keperluan keselamatan oleh pihak Jabatan Pelabuhan dan Dermaga selain beroperasi tanpa kru.

“Kedua-dua bot dan juragan telah diiringi masuk ke jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suhaimi berkata, Maritim Malaysia menyeru kepada semua pengusaha bot penumpang agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan semasa membawa penumpang ke pulau-pulau sekitar perairan Sabah bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan Operasi Preventive SAR ini agar tahap kesedaran berkenaan aspek keselamatan di laut dalam kalangan pengusaha bot penumpang dan komuniti maritim menjadi satu keutamaan dan dipandang serius. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Peranan persatuan penting galakkan pendermaan darah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular