HomeUtamaStruktur bangunan SK Darau daif dan tidak selamat, perlu perhatian segera

Struktur bangunan SK Darau daif dan tidak selamat, perlu perhatian segera

Read Time:4 Minute, 23 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Darau yang terletak kira-kira 13 kilometer dari bandaraya Kota Kinabalu, merayu kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera terhadap permohonan bantuan untuk menyelesaikan masalah struktur bangunan yang daif dan sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik di sekitar sekolah berkenaan.

SK Darau mempunyai lima blok bangunan terdiri daripada 15 bilik darjah itu menempatkan seramai 1277 murid dan 100 murid pra-sekolah.

Mempunyai 72 orang guru dan 12 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), sekolah ini juga beroperasi pada dua sesi persekolahan iaitu sesi pagi dan petang.

Guru Besar SK Darau, Suzanah Awang Hussin berkata, bukan sahaja pihak sekolah tetapi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang prihatin sangat memerlukan perhatian segera kerana terdapat dua blok bangunan jenis kayu sekolah itu yang mempunyai tujuh bilik darjah, strukturnya sudah terlalu usang.

Suzanah

“Kami merayu kepada pihak berwajib supaya beri perhatian segera tentang masalah sekolah kami hadapi ini kerana ini juga melibatkan keselamatan warga sekolah ini, biarpun saya baru tiga bulan bertugas di sekolah ini dan saya dapati sekolah ini sangat ketinggalan dari segi infrastrukturnya walaupun di luar nampak sangat gah tapi di dalamnya sangat teruk. Jadi saya memohon pihak berkuasa setempat dapat membantu sekolah ini.

Siling bilik darjah reput, bocor dan apabila hujan air masuk ke dalam kelas.

“Kekurangan sekolah ini hanya dari segi infrastruktur, bangunan dan bilik darjah memang sangat teruk sebab itu saya mengharapkan agar pihak berkenaan dapat melawat kelas-kelas tertentu di mana lantai dan siling sudah reput dan bocor, bila hujan guru tidak boleh mengajar.

Bilik darjah SK Darau sering dilanda banjir.

“Ditambah lagi sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik sekitar kawasan sekolah menyebabkan banjir kilat, apabila banjir budak terpaksa berkumpul di dewan tidak boleh berada di kelas kerana air masuk dalam kelas,” katanya ketika ditemui Sabah Media selepas majlis perasmian Program Sihat Lestari anjuran PIBG SK Darau di sini pada Sabtu.

Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG SK Darau, Aliuddin Majid, masalah tersebut sudah bertahun-tahun dihadapi di sekolah itu dan katanya, yang paling teruk dari 2017 sehingga kini belum ada penyelenggaraan sistem perparitan yang baik di sekitar sekolah dijalankan.

“Sekolah ini sering dilanda banjir kilat, setiap kali hujan, air masuk di kelas dan air tidak dapat keluar, tidak ada punca di mana air tersebut boleh keluar. Difahamkan pihak sekolah sudahpun melaporkan kepada pihak berkenaan mengenai perkara itu.

“Sehubungan dengan itu, pihak PIBG sekolah dengan berbesar hati akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama apabila diperlukan oleh pihak sekolah.

“Para ibu bapa juga turut meluahkan rasa bimbang akan keselamatan anak-anak mereka yang belajar dalam keadaan struktur bangunan yang tidak kukuh serta berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera,” katanya.

Selain itu mengenai perkembangan prestasi sekolah, Suzanah memaklumkan prestasi pencapaian murid SK Darau dalam akademik adalah memuaskan.

“Adalah sangat mencabar kepada guru-guru di sini, dari 1277 murid hanya 80 orang murid sahaja di bawah Tahap Penguasaan 3 (TP3) selebihnya sudah di atas TP3, jadi kalau kita tengok peratusnya sangat rendah yang lemah dan sangat tinggi yang pandai di sekolah ini.

“Oleh sebab guru sudah cukup kuat, murid semakin ramai, ibubapa pun bekerjasama dengan baik cuma kelemahan infrastruktur jadi kekangan kami, justeru keselesaan dan keselamatan murid di sekolah ini perlu diutamakan,” ujarnya.

Mengulas mengenai acara pada hari ini, Suzanah sangat kagum dengan kerjasama PIBG menjayakan program yang julung kali diadakan di sekolah tersebut.

“Saya sangat berbangga dengan PIBG di sekolah ini kerana mereka berjaya melaksana dan menunjukkan satu usaha bagaimana menarik para ibu bapa hadir dalam program yang bermanfaat seumpama ini.

“Program yang diselit dengan pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah kesihatan, keibubapaan, demonstrasi keselamatan oleh pasukan Bomba, gerai-gerai jualan pelbagai produk makanan dan barangan serta cabutan tiket bertuah dan ini sekali gus mengeratkan lagi permuafakatan ibu bapa, guru serta masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Khidmat Rakyat P171 Sepanggar, Ahsim Jamat berkata, beliau akan mendapatkan perincian masalah yang dihadapi SK Darau dan menyampaikan isu tersebut kepada Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud.

“Saya mewakili Yang Berhormat (YB), untuk menerima input-input dari sekolah ini, saya mendapati betapa perlunya sekolah ini untuk diberi perhatian, jadi apa-apa yang menjadi kekangan pihak sekolah untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelajar-pelajar kita, kita dapat minimakan, jika kita tidak dapat atasi secara keseluruhannya tetapi kita dapat minimakan.

“InshaAllah kita buat pemerhatian dari segi fizikal kelas-kelas, bilangan pelajar dalam satu kelas, infrastruktur parit, jalan, bekalan air serta elektrik kita akan tengok keperluannya supaya kita dapat bantu pihak sekolah,” katanya ketika hadir mewakili Mustapha merasmikan program di sekolah tersebut pada hari ini.

Beliau yang juga merupakan bekas pelajar di SK Darau suatu ketika dahulu turut memaklumkan akan bersama-sama dengan pihak sekolah membina rangkaian dari pelbagai pihak dengan sebaik mungkin untuk membantu sekolah itu.

“Saya juga difahamkan pihak sekolah telah banyak mendekati pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan dan sebagainya disebabkan kedaifan sekolah ini.

“Apa yang saya dapat janjikan dari pihak parlimen, kami akan bersama-sama dengan pihak sekolah untuk mewujudkan rangkaian sebaik dan semantap mungkin dengan mana-mana agensi, badan dan jabatan supaya pihak sekolah tidak keseorangan meminta bantuan tanpa dilayan.

“Jadi itu yang dapat Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar sampaikan kepada YB sendiri mengenai isu-isu sebegini, saya harap masalah ini dapat ditangani secepat mungkin,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular