HomeUtamaCubaan samun kedai emas guna pistol palsu, gagal

Cubaan samun kedai emas guna pistol palsu, gagal

Read Time:1 Minute, 29 Second

LAHAD DATU: Cubaan samun di sebuah kedai emas gagal apabila tindakan berani mangsa yang juga pengurus kedai tersebut membaling satu batang besi pengukur saiz cincin ke arah suspek yang mengacukan sepucuk pistol disyaki palsu dalam kejadian yang berlaku di Dataran Palma di sini awal pagi tadi (8 Jan).

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dr. Rohan Shah Ahmad berkata, dalam kejadian itu, pada jam 8.39 pagi tadi mangsa seorang pengurus kedai emas yang sedang berkemas untuk memulakan perniagaannya telah didatangi oleh seorang lelaki (suspek) memakai topi dan pelitup muka ke arah kaunter kedai emas terbabit dan mengacukan satu objek menyerupai sepucuk pistol (disyaki palsu) ke arah mangsa.

“Suspek turut menyerahkan satu beg kain berwarna merah kepada mangsa untuk menyerahkan dan memasukkan emas ke dalam beg kain tersebut.

“Walau bagaimanapun, tindakan berani mangsa membaling satu batang besi pengukur saiz cincin ke arah suspek telah berjaya mengagalkan kejadian cubaan samun itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Rohan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Pihak polis sedang berusaha untuk mengesan suspek iaitu seorang lelaki berbadan gempal, tinggi anggaran 5 kaki 5 inci dan umur awal 40’an berdasarkan siasatan pada kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi di tempat kejadian.

“Usaha untuk mengesan saksi bebas di tempat kejadian juga sedang dijalankan bagi mengesan suspek sebenar dalam kejadian ini,” katanya.

Sehubungan itu, Rohan memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran atau kepada ASP Suddin Tjinke, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Lahad Datu di talian 017 4881755.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 393 / 397 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan sebat.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelbagai inisiatif pembangunan dilaksanakan melalui Hala Tuju SMJ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular