Kota Kinabalu : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berharap agar tiada lagi pihak berani mengemukakan sebarang tuntutan ke atas negeri ini selepas kes tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu ditamatkan.
Katanya, berkata tuntutan pihak terbabit jelas tidak berasas dan pendirian itu disuarakan sejak dari awal kes tuntutan berkenaan sampai ke pengetahuan kerajaan negeri.
“Kita berterima kasih kepada Azalina dan kerajaan persekutuan kerana akhirnya terbukti tuntutan Sulu itu tidak berasas sama sekali ada, selain ada unsur mencari keuntungan dan kemudahan lain termasuk arbitrator (penimbang tara), Dr Gonzala Stampa.
“Sekarang di mahkamah Sepanyol dia (Stampa) didapati bersalah dan dihukum penjara enam bulan. Ini menunjukkan bahawa tuntutan waris Sulu itu dari mula lagi kita nyatakan tidak berasas sama sekali.
“Jadi, kita di Sabah gembira mendengar berita ini. Kita harap mudah-mudahan tiada lagi yang berani buat (tuntutan) seperti ini selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terbaharu usaha kerajaan berhubung kes tuntutan Sulu, di sini.
Semalam, Azalina berkata,tumpuan kini adalah untuk menamatkan ‘Final Award’ AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang dikeluarkan Stampa ke atas Malaysia sekali gus menoktahkan tuntutan individu yang mendakwa waris Sultan Sulu.
Katanya, dengan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol ke atas Stampa, ia juga menjadi bukti usaha kerajaan dalam menangani dan menghentikan penipuan pihak mendakwa waris Sultan Sulu tidak sia-sia. – SABAH MEDIA