Oleh NORMIMIE DIUN
SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan menasihatkan kepada para peniaga supaya meletakkan tanda harga dengan jelas pada setiap barangan yang dijual untuk mengelakkan kekeliruan sekali gus memudahkan pengguna membuat pembelian secara berhemah.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KKPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, beliau bersama pasukannya menjalankan pemantauan setiap hari di pasaraya, kedai runcit dan gerai-gerai jualan sekitar Sandakan untuk memastikan para peniaga menjalankan aktiviti perniagaan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh KPDN.
Selain itu, katanya, meletakkan tanda harga dengan jelas ke atas setiap barangan yang dijual juga adalah sangat penting. Ini adalah supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pengguna sekali gus memudahkan pengguna membuat pembelian secara berhemah.
Beliau berkata, pemantauan oleh pegawai penguat kuasa KPDN Sandakan yang dijalankan setiap hari meliputi lima kawasan Parlimen dan 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuklah Sandakan, Beluran, Paitan, Telupid, Tongod dan Kinabatangan.
“Untuk makluman, penandaan harga ini sudah ada sejak 1946 lagi. Sepatutnya semua peniaga sudah faham mengenai perkara ini.
“Peniaga ada tanggungjawab iaitu menjual barangan yang ada kualiti
namun penandaan harga adalah tanggungjawab peniaga dan KPDN ada tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang, justeru, kita masing-masing mempunyai tanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Menurutnya, beberapa tahun lepas KPDN ada buat kempen Timbang Tepat Harga Jelas (TTHJ). Kempen ini menyasarkan kepada para peniaga untuk meletakkan tanda harga yang jelas dan menggunakan alat timbang sukat yang telah ditentusahkan.
“Penguatkuasaan yang berterusan sebagai contoh memberikan khidmat nasihat dan seterusnya mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ke atas peniaga yang enggan mematuhi peraturan dan melakukan kesalahan berulang.
“Khidmat nasihat akan kami sampaikan sebelum memberikan apa-apa notis amaran ataupun kompaun terhadap peniaga yang ingkar arahan bagi kesalahan pertama tetapi jika kesalahan berulang pihak penguat kuasa KPDN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahan yang dilakukan.
“Semalam, pihak KPDN Sandakan selain membuat tinjauan bekalan barangan runcit di pasaraya, kami juga membuat tinjuan di gerai-gerai menjual makanan sekitar Sandakan.
“Bagaimanapun masih terdapat gerai-gerai yang tidak mempamerkan tanda harga dan meletakkan tanda harga yang mengelirukan pada produk makanan yang dijual, jadi tinjuan kali ini kami hanya memberikan nasihat dan menunjukkan cara meletakkan tanda harga yang betul.
“Rata-rata para peniaga yang kita bantu dalam khidmat nasihat menyatakan rasa berterima kasih kerana penguatkuasaan berhemah ini, saya dapati cara ini sangat berkesan untuk beri kesedaran kepada peniaga mengenai perkara ini,” ujarnya.
Azdy berkata, harapan KPDN Sandakan agar para peniaga sedar akan tanggungjawab mereka sebagai peniaga iaitu menjual barang yang berkualiti dan bersih, membuat penandaan harga yang jelas iaitu tidak mengelirukan atau ada dua harga yang tidak jelas serta menggunakan alat timbang yang telah ditentusahkan.
“Manakala bagi pihak KPDN tanggungjawabnya pula adalah memastikan para peniaga mematuhi semua peraturan yang telah digariskan atau mereka akan berhadapan dengan tindakan kes daripada KPDN.
“Tindakan undang-undang akan dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga dan Caj Perkhidmatan) 2020. Ini bagi individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000
“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000,” tegasnya.