HomeUtamaKPM akan lulus segera peruntukan tambah baik SK Darau

KPM akan lulus segera peruntukan tambah baik SK Darau

Read Time:1 Minute, 48 Second

BERNAMA

Ipoh : Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyegerakan permohonan peruntukan memperbaiki kemudahan dan infrastruktur di Sekolah Kebangsaan Darau di Kota Kinabalu, Sabah yang berada dalam keadaan daif.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sejumlah RM140,000 telah disalurkan tahun lepas kepada sekolah itu bagi tujuan penambahbaikan, dan bagi tahun ini Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah mengemukakan permohonan bagi tujuan sama.

“SK Darau ini dibina pada 1940an, berada dalam keadaan daif dan sememangnya KPM tahu bahawa ia perlu diberikan perhatian.

“Apabila KPM meluluskan peruntukan tersebut kita akan mengumumkannya dan kita akan cuba sedaya upaya menyegerakan permohonan dan menyalurkan dengan segera,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan prasekolah harmoni Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Chai di sini hari ini.

Wong mengulas laporan media mengenai keadaan siling di dalam sebuah bilik darjah di sekolah berkenaan kelihatan tidak diselenggara dengan baik sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan murid yang masih menggunakan kelas itu.

Menurut laporan itu, ibu bapa kepada murid telah mengumpul RM1 setiap seorang untuk membeli kipas siling baharu bagi memastikan keselesaan murid ketika sesi pembelajaran kerana kipas sedia ada telah rosak.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Taiping itu berkata kesemua murid kelas berkenaan telah dipindahkan ke bilik lain bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran dalam keadaan selesa.

“Saya percaya bahawa JPN Sabah telah pun memberi bantuan dan juga panduan yang sewajarnya kepada sekolah berkenaan,“ katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Wong berharap Kementerian Pengangkutan serta pihak berkaitan dapat meneliti sebelum menaikkan tambang bas sekolah yang akan dilaksanakan pada sesi persekolahan penggal baharu Mac depan.

“Apa yang penting bagi KPM adalah kepentingan semua pihak harus dijaga termasuk dari pihak pengendalian bas dan juga pada masa sama bagi keluarga berpendapatan rendah yang akan terbeban sekiranya tambang bas sekolah meningkat,“ katanya.

Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia mengesahkan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka meningkat.

Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata antara faktor tambang terpaksa dinaikkan adalah kerana alat ganti kenderaan mahal dan lebih 80 peratus alat ganti diimport dari luar.

Amali berkata kenaikan tambang itu berlaku berdasarkan kawasan dan kos operasi selepas kerajaan sudah tidak mengawal tambang bas sekolah dan ia mengikut kepada pasaran sejak Januari 2015.–BERNAMA

RELATED ARTICLES
Luar negaraUtama

Helikopter Terhempas: Ebrahim Raisi Dilaporkan Maut Bersama Penumpang Lain

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular