HomeSukan80 sertai Jelajah Berbasikal Kinabalu UNESCO Global Geopark

80 sertai Jelajah Berbasikal Kinabalu UNESCO Global Geopark

Read Time:2 Minute, 2 Second

RANAU: Seramai 80 peserta menyertai acara berbasikal sempena dengan Jelajah Berbasikal Kinabalu UNESCO Global Geopark yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 hingga 20 Januari 2024.

Peserta terdiri daripada kakitangan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan peminat sukan berbasikal akan menelusuri kawasan-kawasan Geopark sejauh 185 Kilometer bermula dari Ranau ke Kota Marudu seterusnya ke Kota Belud.

Dianjurkan oleh Taman-Taman Sabah dengan kerjasama Sri Pelancongan Sabah, acara ini juga adalah sebahagian daripada acara Pemashyuran Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) dan turut menjadi acara pelancaran sambutan Jubli Intan Taman-Taman Sabah di Dataran Kota Belud pada 20 Januari 2024, yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Christina (tengah), Peter dan Maklarin merakamkan gambar kenangan bersama penganjur dan peserta berbasikal.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, acara ini bukan sahaja menjadi sejarah untuk Taman-Taman Sabah dengan anugerah status UNESCO Global Geopark, tetapi juga melengkapkan Triple Crown UNESCO, bersanding dengan Kinabalu World Heritage Site dan Crocker Range Biosphere Reserve.

“Selain itu, acara ini menjadi platform utama untuk memperkenalkan tarikan baru dalam pelancongan pedalaman – pelancongan sukan berbasikal.

“Laluan menarik yang dilalui menawarkan pengalaman yang memukau dengan keindahan alam semulajadi dan latar belakang Gunung Kinabalu, menjadikannya daya tarikan kepada peminat sukan berbasikal di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelepasan peserta di Taman Kinabalu di sini, pada Khamis (18 Jan).

Menurut Christina, Jelajah Berbasikal yang merangkumi tiga hari itu, peserta akan melalui enam hentian yang menyediakan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat.

“Peserta akan beristirehat di dua lokasi berbeza. Pada 18 Januari, mereka akan bermalam di Sub-Stesen Sorinsim, Kota Marudu, kawasan pemuliharaan dan konservasi di bawah Taman-Taman Sabah. Malam berikutnya, pada 19 Januari, mereka akan menginap di Paranauan Inn Kg Sangkir, Kota Belud, sebuah tempat menarik dengan latar belakang Gunung Kinabalu.

“Sambil menikmati keindahan, peserta juga akan membawa mesej penting tentang kelestarian alam semula jadi dan keperluan untuk usaha konservasi guna mengekalkan keindahan semulajadi kita untuk generasi akan datang.

“Daerah Ranau, Kota Marudu, dan Kota Belud bukan hanya kaya dengan tarikan pelancongan semula jadi, tetapi juga mempunyai kekayaan budaya, warisan, dan tarikan lain. Kita percaya bahawa pelancongan berpusatkan komuniti di daerah ini dapat memberikan pulangan besar kepada kerajaan negeri,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Taman-Taman Sabah Peter Lintar, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Maklarin Lakim, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah Thonny Chee dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabapak Eco Sdn Bhd Remysta Taylor.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular