Kota Kinabalu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah (PPNS) Kuala Lumpur menjalin kerjasama dalam menjayakan perkhidmatan logistik kepada rakyat di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah perkhidmatan sewaan pengangkutan, perhotelan, kargo, tempahan tiket penerbangan dan hal kebajikan.
“Saya ucapkan tahniah kepada MUIS kerana telah membuat satu lagi inisiatif yang sangat baik untuk pembangunan MUIS itu sendiri dan juga membantu masyarakat khususnya anak-anak Sabah atau pekerja daripada Sabah di Semenanjung.
“Anak syarikat MUIS ini akan bekerjasama dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah dalam menyelaras beberapa perkara berhubung logistik, pengangkutan, penginapan dan hal-hal berhubung dengan perkara yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara MUIS dan PPNS Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hadir sama Yang DiPertua MUID Datuk Seri Yahya Hussin dan Pengarah
PPNS Kuala Lumpur Sabariah Safri @ Saffree.
Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan Sabah berharap usaha seumpama itu akan dapat membantu rakyat negeri ini khususnya kakitangan Kerajaan yang melaksanakan tugas di Semenanjung selain dari Sabag.
“Ini sangat baik juga untuk MUIS dan ianya juga dapat membantu menyelaras berhubung dengan pengangkutan, penginapan termasuklah pelajar kita di Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH