HomeUtamaGoda isteri orang di Sabah boleh dikenakan denda, penjara

Goda isteri orang di Sabah boleh dikenakan denda, penjara

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu : Mahkamah Anak Negeri (MAN) boleh menjatuhkan hukuman denda sebanyak tiga ekor ternakan dan denda RM3,000 terhadap lelaki Islam yang didapati bersalah menggoda isteri orang di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jika pihak ketiga itu ingkar, penjara selama tempoh tidak melebihi 18 bulan akan dikenakan.

Katanya, hukuman yang dikenakan MAN itu lebih berat berbanding yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah di negeri ini.

“Di Sabah kita ada enakmen berkenaan dan bukan saja enakmen Syariah tapi enakmen MAN pun ada. Malah undang-undang di dalam enakmen MAN Sabah lebih besar dari segi dendanya.

“Pertama sekali mungkin saya sebutkan tiga ekor ternakan dendanya tapi kalau tidak mematuhi dia boleh dikenakan tidak lebih 18 bulan dan RM3,000 denda,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi taklimat di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu di sini semalam.

Hadir sama Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar.

Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes yang berlaku di negeri ini termasuk di Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa enakmen baharu berkaitan perundangan Islam akan diusul ke Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tahun ini.

Katanya, perkara tersebut kini sedang disusun di peringkat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Negeri Sabah (JAKTUS) yang dipengerusikan oleh Peguam Besar Negeri Sabah dan apabila selesai akan dikemukakan pertengahan tahun ini.

“Dijangkakan pada tahun ini, satu atau dua cadangan akan dibentangkan dan selebihnya akan dibincangkan kelak,” katanya.

Pada sesi taklimat tersebut, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Ahadin Arinen memaklumkan cadangan beberapa enakmen baharu iaitu Enakmen Mahkamah Syariah 2024, Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dan Enakmen Pewarisan Harta Pusaka Islam 2024.

Sementara itu, Ariffin juga berkata Sabah akan mengadakan perbincangan dan berkolaborasi dengan Selangor khususnya dalam bidang pengurusan, pemakmuran dan pemerkasaan zakat serta wakaf.

“Mudah-mudahan selepas ini akan ada hubungan bersama dari sudut kementerian dan jabatan yang mana Selangor juga ke hadapan dalam bidang sains dan teknologi, oleh itu kita akan banyak belajar daripada Selangor,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular