TAWAU: Tawau melakar sejarah penerbangan carter sulung dari Nanjing (NKG), China ke Tawau (TWU) pada Selasa, menandakan satu kejayaan bagi Lapangan Terbang Tawau, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Beliau berkata Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan bangganya mengumumkan permulaan penerbangan carter yang menghubungkan Nanjing, China ke Tawau, Sabah oleh Firefly Airlines, dan Tourism Malaysia (TM) turut memainkan peranan dalam pembangunan laluan penerbangan baharu ini.
Menurut Christina, penerbangan carter ini merupakan penerbangan antarabangsa pertama untuk Lapangan Terbang Tawau membawa masuk ketibaan pertama seramai 157 penumpang pada jam 5.55 pagi Selasa.
Beliau berkata Firefly akan mengendalikan penerbangan carter tiga kali seminggu, yang dijadualkan tiba di Tawau setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, dengan kapasiti 540 tempat duduk seminggu sehingga akhir Mac ini.
“Kami sangat mengalu-alukan rakan-rakan Cina kami dan berharap dapat mempamerkan khazanah budaya dan alam semula jadi Sabah yang unik.
“Pelancaran penerbangan terus dari Nanjing ke Tawau adalah bukti daya tarikan wilayah kita yang semakin meningkat sebagai destinasi pelancongan. Saya teruja laluan baharu ini akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan Tawau sebagai destinasi antarabangsa yang terkemuka.
“Pada masa ini, Sabah menerima 42 penerbangan berjadual mingguan dari Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Hangzhou dan Wuhan ke Kota Kinabalu dengan kapasiti 7,520 tempat duduk seminggu,” kata Christina dalam satu kenyataan semalam.
Pengerusi Sri Pelancongan Sabah Ken Pan mewakili Christina pada majlis menyambut ketibaan penumpang penerbangan itu.
Peranan beliau adalah untuk mengawasi kelancaran ketibaan penerbangan dengan Pengurusan Lapangan Terbang Tawau bagi pihak ejen pelancongan di China.
Turut hadir Pengurus Kanan Pemasaran STB Humphrey Ginibun yang mewakili Lembaga Pengarah.
Pelancong yang berpangkalan di China yang berminat untuk menerokai keindahan Tawau boleh menempah penerbangan mereka dengan mudah melalui pelbagai agensi pelancongan dalam talian (OTAs) iaitu Ly.com, Ctrip, Qunar dan Fliggy.