HomeUtamaTanggungjawab Moral Untuk Ahli Politik, Pesara Pilih Satu Pencen - PM Anwar

Tanggungjawab Moral Untuk Ahli Politik, Pesara Pilih Satu Pencen – PM Anwar

Read Time:1 Minute, 56 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ahli politik atau pekerja kerajaan yang menerima beberapa pencen mungkin boleh memenuhi tanggungjawab moral mereka untuk memilih hanya satu pencen sahaja dan menolak yang lain.

Beliau berkata ini memandangkan terdapat bekas menteri, menteri besar dan pegawai kerajaan yang menerima tiga hingga empat pencen.

“Cuma dari segi moral, orang yang dapat gaji menteri, menteri besar atau pekerja jabatan kerajaan yang dapat tiga empat pencen, mungkin melihat keadaan ini, memenuhi tanggungjawab moral dia untuk menolak pencen yang lain dan memilih satu, terserah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di sini, hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) yang berpandangan bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan, memandangkan bayaran itu sebenarnya sumbangan kerajaan kepada mereka yang menjadi wakil rakyat atau disebut gratuity (ganjaran).

Mubarak turut meminta agar skim pencen penjawat awam diteruskan. 

Anwar berkata sebarang langkah dan cadangan untuk memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan kita membatalkan apa yang telah dipersetujui sebelum ini. Yang kita nak mulakan ialah peraturan baharu yang boleh berkuat kuasa setelah diputuskan bagi jawatan-jawatan baharu.

“Ini termasuklah jawatan politik, itu cadangan kita yang kita akan bentang di Jemaah Menteri dan di Parlimen kerana melibatkan beberapa pindaan undang-undang. Jadi tidak boleh batalkan sedia ada kerana ia sudah terikat dengan perjanjian dan juga jaminan Perlembagaan,” katanya. 

Dalam pada itu mengulas mengenai keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat, Anwar berkata walaupun keputusan itu tidak memihak sepenuhnya kepada penduduk Palestin tetapi ada pendirian yang jelas daripada ICJ mengenai konflik yang berlarutan tersebut. 

“Sekurang-kurangnya jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak supaya dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusiaan,” katanya. 

ICJ pada Jumaat mengarahkan Israel mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun tidak mengarahkan gencatan senjata.

Anwar berkata Malaysia juga tegas dengan pendiriannya selama ini dalam mengutuk serangan berkenaan dan akan terus memantau dan melakukan apa saja seperti yang disuarakan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular