HomeUtama11 suspek disyaki dalang penyeludupan migran berjaya ditangkap

11 suspek disyaki dalang penyeludupan migran berjaya ditangkap

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah memandang serius dalam usaha membenteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini khususnya yang berkaitan dengan penyeludupan migran.

Pengarahnya, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pada 27 Januari 2024, jam 4 pagi satu operasi penguatkuasaan telah dijalankan oleh pasukan JIM Sabah di sekitar daerah Penampang susulan maklumat dan risikan yang diterima berkaitan kes penyeludupan migran.

“Kekuatan pasukan operasi seramai sembilan orang pegawai JIM Sabah telah berjaya membuat tangkapan seramai 11 orang terdiri daripada tujuh warga asing dan empat warga tempatan atas kesalahan disyaki dalang terlibat dalam kes penyeludupan migran ke negeri ini.

Kenderaan yang digunakan untuk menyeludup migran. – foto ihsan JIM Sabah

“Semasa serbuan dan pemeriksaan terdapat kejadian warga asing cuba melarikan diri dari anggota operasi.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan dilakukan dan mendapati sembilan orang berada di dalam kenderaan jenis “Double Cab” yang mana enam orang termasuk seorang kanak-kanak berada di dalam ruang dalam kenderaan manakala tiga orang bersembunyi di ruang “bucket” belakang kenderaan tersebut.

Kenderaan yang digunakan untuk menyeludup migran. – foto ihsan JIM Sabah

“Kenderaan dipandu oleh seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 26 tahun telah dikesan bergerak dari daerah Sandakan pada lebih kurang 9.30 malam pada 26 Januari 2024 menuju ke Kota Kinabalu.

“Sindiket ini menyediakan perkhidmatan membawa masuk warganegara asing khususnya dari warganegara Filipina dengan bayaran sekitar RM1500 sehingga RM2500 bagi seorang warganegara asing dengan modus operandi menggunakan Pulau Bakungan Besar, Filipina sebagai transit sebelum memasuki ke negeri Sabah.

“Warganegara asing yang ditangkap telah ditahan di bawah seksyen 51(5B) Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Manakala empat suspek warganegara Malaysia direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Sh Sitti Saleha, hasil maklumat risikan juga berjaya mengenal pasti sebuah rumah di kawasan daerah Penampang telah digunakan sebagai rumah transit bagi PATI yang diseludup sebelum dihantar ke lokasi-lokasi yang lain.

Rumah transit yang dikenal pasti untuk menyeludup migran. – Foto ihsan JIM Sabah

“Pada dua serbuan berasingan pasukan operasi berjaya menahan 11 PATI terdiri daripada warga Filipina berumur di antara lapan bulan hingga 47 tahun yang terdiri daripada lima orang lelaki, tiga perempuan dan tiga kanak-kanak.

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.

Pada sidang media sama, Sh Sitti Saleha turut memaklumkan JIM Sabah telah berjaya melaksanakan penghantaran pulang tahanan depot dari seluruh negeri Sabah sebanyak 83 kali sepanjang tahun 2023 iaitu 41 kategori laut dan 42 kategori udara.

“Jumlah keseluruhan tahanan yang telah dihantar pulang ke negara asal adalah sebanyak 8678 orang.

“Program pemindahan ini dilakukan secara konsisten sekurang-kurangnya 2 kali sebulan. Sehingga 25 Januari 2024, jumlah tahanan Depot yang telah dihantar pulang adalah sebanyak 1529 orang,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar Kolej Vokasional Keningau Wakili Malaysia di Taipei 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular