Kota Kinabalu :Pasukan Bola Sepak mewakili Keningau FA berjaya menjuarai Kejohanan Piala Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) 2024 selepas menewaskan Nabawan FA menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 di Stadium Likas malam tadi.
Perlawanan akhir itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 90 minit aksi penuh perlawanan sebelum dilanjutkan dengan perlawanan masa tambahan.
Dengan kemenangan itu, Keningau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan dan medal.
Manakala Nabawan FA membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala dan medal.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan turut dihadiri Naib Presiden SAFA Datuk Seri Dr Ruddy Awah.
Terdahulu, Kota Marudu FA berjaya memperoleh tempat ketiga selepas menewaskan Putatan FA 2-1.
Kedua-dua pasukan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM7,500 dan RM5,000 berserta piala dan medal.
Shahelmey ketika ditemui berkata, kejohanan seumpama itu adalah bertujuan bagi membangunkan bakat-bakat pemain dari Sabah untuk diketengahkan sebagai barisan pemain 18, 20 dan 23 tahun dalam kejohanan liga super musim ini.
“Dalam kejohanan ini, kita telah mendapat sambutan yang begitu baik sekali dan kita percaya bakat-bakat muda pemain bola sepak Sabah ini akan dapat dikembangkan dari masa ke semasa,” katanya. – SABAH MEDIA