KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah dianugerahkan pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) dan dilantik sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Sabah.
Upacara Pemakaian Pangkat Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Harizuddeain Jantan di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu pada Khamis.
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah memperkenankan syor Majlis Angkatan Tentera (MAT) Ke-592 bagi penganugerahan pangkat tauliah kehormat Askar Wataniah kepada Hajiji.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak dan Panglima Pemerintah Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md. Lepi.