HomeUtamaIbu Pejabat SESB Kota Kinabalu akan pindah ke lokasi baharu disebabkan bangunan...

Ibu Pejabat SESB Kota Kinabalu akan pindah ke lokasi baharu disebabkan bangunan uzur, tidak selamat

Read Time:2 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Wisma SESB akan dikosongkan berikutan struktur bangunannya yang semakin uzur dan tidak selamat untuk digunakan lagi, justeru itu, SESB akan keluar dan berpindah ke lokasi pejabat baharu demi keselamatan pekerja dan orang awam secara keseluruhannya.

Perkara itu dinyatakan menerusi satu kenyataan media Bahagian Komunikasi Korporat, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini.

Mengimbas kembali sejarah bangunan Wisma SESB yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu, ia telah banyak menyaksikan pelbagai peristiwa perkembangan industri bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dibina pada tahun 1976 dengan gaya senibina yang mencerminkan kegemilangan zaman itu, bangunan ini menjadi simbol kemajuan teknologi pada waktu tersebut.

Bangunan ini bukan sahaja sekadar bangunan menempatkan pejabat SESB tetapi juga pernah menjadi lokasi tempat para remaja di sekitar Kota Kinabalu berkumpul pada hujung minggu di penghujung tahun 80-an untuk bermain sukan skating.

Dengan ketinggian 10 tingkat, bangunan ini juga menempatkan penthouse di tingkat 10 yang pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pejabat tokoh-tokoh politik negeri Sabah dan kini digunakan sebagai pejabat Pengerusi SESB.

Selain itu, setiap hujung minggu, suasana lobi Wisma SESB sentiasa meriah dengan pemegang bunga manggar dan paluan kompang dalam majlis resepsi perkahwinan.

Pemilihan Dewan Wisma SESB sebagai lokasi majlis perkahwinan bukan sahaja disebabkan keunikan seni ukiran dalaman dewan tetapi juga lokasi yang strategik dengan ruang parkir yang luas serta sewa yang berpatutan.

Sejak dibuka kepada umum untuk tujuan penyewaan, Dewan SESB telah menjadi saksi kepada ribuan pasangan yang melangsungkan perkahwinan dan sekaligus majlis persandingan mereka.

Namun, bermula pada tahun ini, kata kenyataan itu, Dewan SESB tidak lagi mampu untuk menjadi saksi kepada kemeriahan sambutan majlis seumpama itu kerana memberi ruang kepada kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan secara makro.

Menurutnya, Wisma SESB juga adalah antara bangunan-bangunan yang lama dibina di sekitar Kota Kinabalu selain Wisma MUIS, Wisma Dang Bandang, Wisma Merdeka, Bangunan Pejabat Pos, Bangunan KUWASA, Bangunan Tun Fuad dan Bangunan Pejabat Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, sesuai dengan usia bangunan yang semakin meningkat, Wisma SESB tidak terlepas daripada
beberapa masalah konkrit yang dihadapi.

“Kelemahan dari bahan pembangunan dahulu yang banyak menggunakan pasir laut telah menyebabkan beberapa bahagian bangunan mengalami keretakan dan kelemahan struktur.

“Persekitaran dan cuaca tropika di Sabah menyebabkan bangunan ini terdedah kepada kelembapan dan pancaran matahari terik yang menyumbang kepada pembentukan kulat, kerosakan cat dan permukaan bangunan.

“Pelbagai usaha telah diambil untuk menangani masalah keusangan Wisma SESB termasuk merancang penstrukturan dalaman yang lebih moden dan kondusif agar dapat terus berfungsi sebagai pusat inovasi dalam industri elektrik.

“Kolaborasi dengan pakar teknologi tempatan dan penyelesaian inovatif seperti penggunaan ruang yang lebih baik turut menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan bangunan ini.

“Namun usaha menyeluruh dalam pemuliharaan struktur bangunan ini secara berkala agar ia dapat terus memberi manfaat kepada masyarakat Sabah tidak dapat diteruskan berikutan usia yang semakin uzur,” jelasnya.

Selain itu, jelas kenyataan itu lagi, isu kekurangan ruang bagi menampung kemudahan moden dan berkualiti juga menjadi kekangan kepada usaha memperbaharui atau memodenkan bangunan.

“Namun demikian, Wisma SESB yang kini berusia 48 tahun itu terus uzur dan akhirnya SESB akur untuk keluar dan berpindah ke lokasi pejabat baharu demi keselamatan pekerja dan orang awam secara keseluruhannya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah kekal harmoni dengan keunikan kepelbagaian – Jeffrey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular