HomeUtamaPembangunan modal insan terus diperkasa di Sabah

Pembangunan modal insan terus diperkasa di Sabah

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kota Kinabalu:  Pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini akan terus diperkasakan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan ianya selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, tabung tersebut bertujuan untuk membolehkan lebih ramai pelajar Sabah melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

“TPNS ini telah dilancarkan Ketua Menteri sejak Jun 2022 dan tujuannya adalah untuk memperkasa dan membantu anak-anak kita di samping bantuan oleh Kumpulan Yayasan Sabah (KYS), biasiswa kerajaan negeri serta Pusat Zakat Sabah, MUIS.

“Tabung ini mendukung usaha-usaha membantu anak-anak dalam bidang pendidikan dan pada tahun lalu, kita telah membelanjakan RM3 juta mendapat manfaat 8000 orang pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan TPNS di sini semalam.

Hadir sama Pengarah KYS Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar.

Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan Sabah berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan kerajaan dalam Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI) kepada para pelajar secara one off pada tahun ini.

“Untuk tahun ini, kita menyediakan RM10 juta untuk bantuan BUDI iaitu bantuan pendaftaran anak-anak sebelum masuk ke universiti.

“Kadar bantuan ialah RM1,500 untuk pelajar di peringkat diploma, matrikulasi dan sebagainya, sementara RM2,000 bagi pelajar di peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Sementara itu, Arifin berkata, BUDI merupakan bantuan yang disalurkan kepada pelajar dalam kalangan B40 dan M40 yang kali pertama masuk ke IPT sepenuh masa di seluruh negara yang diiktiraf kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai Mesyuarat TPNS pertama yang dipengerusikannya untuk tahun ini, beliau berkata, selain menimbangkan beberapa permohonan pelajar yang tidak mendapat biasiswa, mesyuarat tersebut juga memutuskan bantuan kursus kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah dan mereka akan didedahkan dengan persiapan seperti bahasa, cara hidup serta perkara-perkara yang perlu dilaksanakan.

Turut diputuskan, sebanyak 1,000 unit komputer riba akan disalurkan melalui Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang layak pada tahun ini.

Selain penyampaian BAIK dan BUDI kepada golongan pelajar B40 dan M40, Arifin turut menyampaikan cek cura BUDI 2023 kepada Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berjumlah RM10 juta, sementara Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sabah College of Technology (YSCT), Samin Ongki pula menerima RM986,000 bantuan TPNS untuk para pelajar di institusi milik KYS itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Pemilihan U Mobile Sebagai Pengendali 5G Kedua Undang Tanda Tanya, Pakar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular