HomeIsu tempatanMCS pastikan tiada masyarakat tercicir daripada arus pembangunan

MCS pastikan tiada masyarakat tercicir daripada arus pembangunan

Read Time:1 Minute, 34 Second

Sandakan:  Kerajaan menerusi ‘Mobile Community Service’ (MCS) komited untuk memastikan tiada masyarakat tercicir daripada arus pembangunan negara.

Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah Rafidah Datu Derin berkata, program kali ketiga itu dianjurkan oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. 

“MCS akan membawa perkhidmatan ini ke lapangan dan memudahkan urusan perkhidmatan selaras dengan semangat Malaysia Madani bagi memastikan tidak ada yang tercicir dalam arus pembangunan negara.

“Tujuan MCS adalah untuk merapatkan jurang akses rakyat dengan perkhidmatan khususnya perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program MCS di Dewan Sri Gum-Gum di sini.

Katanya, program tersebut berjaya memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 warga Sandakan yang hadir seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang dibawa oleh agensi serta jabatan kerajaan.

“Pada kali ini, PMS berkampung di Dewan Sri Gum-gum bagi mengadakan program perkhidmatan komuniti bergerak atau lebih dikenali sebagai MCS siri ketiga.

“Lebih 59 jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan bersama menyediakan perkhidmatan mereka kepada pengunjung dalam program yang kita adakan sepanjang hari ini.

“Pelbagai aktiviti diadakan termasuklah cabutan bertuah kepada pengunjung, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, demonstrasi memadam api oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kaunter pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah.

“Dalam siri pertama dan kedua yang diadakan pada awal Januari di Ranau, program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan kehadiran kumulatif 2,000 orang pengunjung,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa yang ditemui media dalam program berkenaan memaklumkan, setakat semalam, JAPEN Sabah telah mengadakan 114 Program Info On Wheels (IOW) di 998 lokasi melibatkan 58,385 khalayak sejak 2 Januari lalu.

Katanya, program hebahan melalui Unit Bergerak itu diadakan setiap hari di lokasi-lokasi tumpuan untuk menggalak dan memastikan orang ramai agar mendaftar dalam sistem terbabit sebelum 31 Mac ini.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penduduk Pulau Omadal berterima kasih atas keprihatinan SESB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular